Lebih 1,000 orang hadir di Jualan Nismilan Prihatin DUN Bukit Kepayang
BUKIT KEPAYANG: Seramai 1,000 orang pengunjung telah hadir pada Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin DUN Bukit Kepayang di Kampung Dato’ Mohd Said.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, antara barangan yang dijual di bawah inisiatif ini adalah beras putih tempatan pek 10 kilogram (kg) yang dijual dengan harga RM26.00 sahaja.
“Ayam, telur, minyak masak, sayur-sayuran dan lain-lain barangan juga dijual pada paras harga yang lebih murah antara 20 peratus – 30 peratus berbanding harga pasaran.
“Selain itu, Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang juga telah bekerjasama dengan Pasaraya NSK untuk menjual barang keperluan yang telah disubsidikan oleh Kerajaan Negeri seperti tepung, gula, Milo, mee segera, sabun pencuci pinggan, bihun, tisu gulung serta beberapa barangan keperluan lain.
“Program ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu kenaikan harga barang yang terus menerus menghimpit rakyat negeri ini, tanpa mengira latar belakang.
“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat dalam menghadapi waktu yang sukar ini,” kata Nicole Tan.
Menurut Nicole Tan, inisiatif ini juga merupakan strategi serampang dua mata yang akan memberi impak positif kepada bukan sahaja oleh rakyat sebagai pembeli dan pengguna, malah juga pengeluar, penternak dan usahawan tani yang terbabit secara langsung dalam membekalkan produk makanan.
“Terima kasih kepada FAMA Negeri Sembilan, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Pasaraya NSK dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya yang juga Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Sembilan, Encik Hisyam Yacob.