MAINS buka permohonan program pelatih skim latihan khas kepada graduan

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) membuka peluang kepada graduan lepasan diploma dan ijazah sarjana muda untuk menyertai Program Pelatih Skim Latihan Khas (PSLK) bagi memberi pendedahan pengalaman kerja dalam pelbagai bidang profesional.
Program berkenaan terbuka kepada graduan yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara antara tahun 2022 hingga 2026.
Menurut MAINS, program itu bertujuan menyediakan platform latihan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kepada pengalaman kerja sebenar di pelbagai bahagian, unit dan cawangan agensi tersebut.
Antara bidang latihan yang ditawarkan termasuk zakat, wakaf dan mal, kaunseling dan latihan, sumber manusia dan pentadbiran, kewangan dan perakaunan, media baharu dan kreatif, perancangan dan penyelidikan, kejuruteraan dan pengurusan projek, undang-undang, komunikasi korporat serta perhubungan awam.
Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 35 tahun, sihat tubuh badan, mahir menggunakan komputer serta mempunyai sikap bertanggungjawab dan berfikiran terbuka.
Keutamaan turut diberikan kepada anak Negeri Sembilan selain calon yang tidak pernah menyertai program PSLK MAINS sebelum ini.
Program latihan itu menawarkan kontrak selama satu tahun dengan bayaran elaun sebanyak RM2,100 sebulan bagi pemegang ijazah sarjana muda dan RM1,900 bagi pemegang diploma, selain kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang MAINS bermula 17 Mac hingga 31 Mac 2026. Graduan yang berminat digalakkan mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup yang ditetapkan.



