Berita

Mangsa banjir Gemencheh dan Gemas terima bantuan RM265,000

TAMPIN: Sebanyak 265 keluarga dari Gemencheh dan Gemas yang terlibat dengan kejadian banjir pada bulan Mac lepas, menerima bantuan kewangan berjumlah RM265,000.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, setiap 10 Ketua Isi Rumah (KIR) di DUN Gemencheh telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000; manakala majlis penyerahan bantuan tersebut bagi 255 KIR DUN Gemas akan dilaksanakan secara berasingan pada tarikh yang dimaklumkan kelak.

Daerah Tampin telah dilanda bencana banjir pada 1 hingga 5 Mac 2023 yang lepas. Seluruh agensi kerajaan termasuk agensi penyelamat telah digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa banjir untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Seramai 10 keluarga bagi DUN Gemencheh dan 255 keluarga bagi DUN Gemas telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala baki seramai 37 keluarga tidak berpindah ke PPS kerana menumpang di rumah jiran dan sanak saudara terdekat.

“Secara keseluruhannya, banjir yang berlaku tersebut telah melibatkan seramai 265 keluarga iaitu 919 orang mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Daerah Tampin.

“Justeru, atas keprihatinan kerajaan, sejumlah RM265,000 telah diperuntukkan bagi mengurangkan beban keluarga yang terkesan dengan bencana tersebut.

Di harap dengan bantuan yang disalurkan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa terutama dalam memenuhi barangan keperluan asas berbentuk makanan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Bencana Banjir 2023 bagi Daerah Tampin di Pejabat Daerah Tampin pada Khamis.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Repah, YB S.Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button