Berita

Mantai Perdana 20 April, daging dijual RM37 sekilogram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan program Mantai Perdana pada 20 April ini di 18 lokasi di seluruh negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, 21 pengusaha telah bersetuju untuk terlibat dalam jualan besar-besaran ini.

“Daging yang akan dijual adalah lebih murah dari harga pasaran iaitu RM37 bagi sekilogram.

“Ada di lokasi tertentu pengusaha akan menawarkan harga yang lebih murah daripada RM37 sekilogram. Itu atas tawaran pengusaha sendiri.

“Walaubagaimanapun, harga yang dikawal oleh Kerajaan Negeri untuk Mantai Perdana ialah RM37 sekilogram.

“Anggaran daging lembu yang akan dijual secara keseluruhannya adalah sebanyak 10,000 kilogram,” kata Aminuddin dalam Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco sebentar tadi.

Aminuddin berkata, harga pasaran daging lembu di Negeri Sembilan adalah antara RM40 ke RM41 bagi sekilogram.

“Selain daging lembu, turut dijual ialah daging kambing, daging kerbau dan daging ayam, bergantung kepada lokasi tertentu,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button