Berita

Masjid perlu pelbagaikan fungsi: Aminuddin

Masjid bernilai RM7.5 juta akan dibina di Taman Forest Heights, Seremban

SEREMBAN: Masjid perlu mempelbagaikan fungsinya bagi menjamin kelestarian perpaduan ummah di negeri ini dan bukan sekadar tempat beribadah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, fungsi masjid harus diluaskan meliputi peranan sebagai tempat perjumpaan, tempat interaksi sosial, tempat untuk menyatukan dan merapatkan hubungan silaturahim.

“Di samping itu masjid perlu berperanan sebagai one stop centre untuk menyantuni permasalahan ummah yang semakin mencabar mutakhir ini.

“Masjid adalah institusi yang menghubungkan seseorang muslim dengan Allah SWT dan pada masa yang sama menjaga hubungan sesama manusia,’ kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Masjid Forest Heights, Seremban/Senawang, pada Khamis.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata sebuah masjid baharu akan dibina di Taman Forest Heights dengan kos RM7.5 juta.

“Pembinaan masjid ini meliputi ruang solat lelaki, ruang solat perempuan, mihrab, tandas dan ruang wuduk lelaki dan wanita, ruang limpah, bilik pengurusan masjid, bilik mesyuarat, bilik VVIP, bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, bilik imam, bilal, suis, alat siar raya dan menara masjid setinggi 27 meter.

“Di samping itu terdapat bangunan sokongan turut dibina yang melibatkan pembinaan rumah pam, rumah sampah dan pencawang elektrik padat.

“Bagi memudahkan Jemaah untuk menunaikan solat, sejumlah 126 petak parkir kereta, 80 petak parkir motor dan parkir Orang Kurang Upaya disediakan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin yakin apabila Masjid Taman Forest Heights siap, ia akan dapat memperteguhkan muafakat dalam kalangan umat Islam khususnya di Mukim Senawang.

“Rekod menunjukkan terdapat 301 masjid, 46 surau diri Jumaat, dan 974 surau yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ketika ini.

“Dengan pertambahan masjid yang dibina, maka cabaran dan amanah lebih besar harus digalas oleh semua pihak terlibat khususnya ahli-ahli kariah untuk memperkukuh kembali peranan masjid sebagai pusat perpaduan dan hab pendidikan formal dan tidak formal umat Islam di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin lagi.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button