Menjelang Ramadan, bekalan telur dan ayam dijangka stabil

KUALA LUMPUR: Bekalan ayam dan telur di pasaran tempatan dijangka kekal mencukupi serta tidak berdepan sebarang gangguan, khususnya menjelang Ramadan bulan depan, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan data kementerian yang menunjukkan bekalan kedua-dua komoditi berkenaan berada pada tahap stabil ketika ini.
Menurutnya, antara cabaran yang berpotensi menjejaskan bekalan ialah aktiviti penyeludupan, justeru penguatkuasaan berterusan oleh semua pihak berkaitan amat penting bagi memastikan kestabilan pasaran domestik.
“Dalam masa sama, kementerian juga akan memastikan import ayam dilaksanakan secara seimbang supaya tidak menjejaskan pengeluaran tempatan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung perancangan kementerian bagi mengekalkan kestabilan bekalan ayam serta usaha mengurangkan kebergantungan kepada import demi melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana.
Mengulas soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai tekanan kos makanan ternakan yang dihadapi penternak kecil, Mohamad berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Jabatan Pertanian telah membangunkan bahan mentah alternatif bagi makanan ayam.
Katanya, antara bahan yang digunakan termasuk isi rong sawit, larva Black Soldier Fly serta jagung bijirin tempatan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 15 syarikat kini terlibat dalam inisiatif penanaman jagung bijirin tempatan, dengan kerajaan menyediakan sokongan awal dari segi kewangan dan logistik.
Menjawab soalan asal Richard mengenai bantuan kepada penternak kecil untuk beralih kepada sistem reban tertutup, Mohamad berkata transformasi tersebut bergantung kepada tahap kesiapsiagaan penternak, khususnya dari aspek infrastruktur dan logistik.
“Sehingga Disember 2025, sebanyak 19 pembiayaan subsektor ternakan bernilai RM62.7 juta telah diluluskan, namun tiada subsidi khusus disediakan bagi transformasi kepada reban tertutup,” katanya.



