Berita

Musliadi serah ‘tablet’ kepada 120 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan

JERAM PADANG: Penyelaras DUN Jeram Padang, Tuan Musliadi Sabtu menyerahkan 120 unit ‘tablet’ (peranti pintar) kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di DUN Jeram Padang.

Musliadi berkata, seramai 120 pelajar daripada kalangan Melayu, Cina, India dan juga Orang Asal yang layak telah hadir di pejabatnya bagi menerima ‘tablet’ ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan kerana telah berjaya mewujudkan inisiatif bantuan ‘tablet’ ini bagi membantu pelajar di Negeri Sembilan khususnya di DUN Jeram Padang dalam proses pembelajaran secara atas talian (online).

“Walaupun pelajar sekarang ini sudah memulakan pembelajaran di kelas sekolah, ‘tablet’ ini juga boleh digunakan untuk mereka belajar dan menyertai ‘Whatsapp Group’ yang dibuat oleh guru.

“Saya difahamkan masih lagi terdapat pelajar yang menggunakan telefon pintar ibubapa bagi pembelajaran mereka.

“Justeru, dengan adanya ‘tablet’ ini, ia mampu meringankan beban ibubapa, di samping memudahkan urusan pelajar untuk terus berhubung dengan guru tanpa perlu meminjam telefon daripada ibubapa,” ujar Musliadi.

Musliadi berkata, beliau berharap penerima dapat menjaga peranti tersebut dan memanfaatkannya untuk pembelajaran mereka kelak.

Show More

Related Articles

Back to top button