Berita

Muzium Kebudayaan Masyarakat Cina Negeri Sembilan, tarikan pelancongan baharu

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun merasmikan Muzium Kebudayaan Masyarakat Cina Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Muzium yang ditempatkan di tingkat dua Bangunan Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan mempunyai keluasan 2,195 kaki persegi, merupakan salah satu daripada dua muzium budaya yang didirikan oleh Dewan Perhimpunan Cina.

“Tahniah diucapkan kepada Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan di atas usaha yang dijalankan bagi mewujudkan sebuah muzium yang mempamerkan cara hidup nenek moyang masyarakat Cina di Negeri Sembilan sejak abad ke 19.

“Saya dimaklumkan pembinaan muzium ini telah mengambil masa selama dua tahun setengah melalui tahap perancangan, kajian, pengutipan maklumat sehingga ke kerja pembinaan.

“Artifak dan koleksi barangan antik di muzium ini mempunyai nilai seni dan sejarah bagi manfaat generasi sekarang dan akan datang selain menjadikan muzium sebagai wadah pembelajaran kepada semua lapisan masyarakat,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, Muzium Kebudayaan Masyarakat Cina ini diharap mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancongan baharu di Negeri Sembilan khususnya di Seremban.

“Di Seremban para pengunjung boleh melawat ke Lorong Seni Seremban bagi menyaksikan lukisan mural terpanjang dan juga Dinding Visual di Jalan Yam Tuan.

“Bagi peminat orkid boleh menikmati pelbagai jenis orkid di Taman Orkid Seremban.

“Selain itu Taman Rekreasi Air Seremban telah dinaik taraf dan menyediakan pelbagai aktiviti menarik bagi seisi keluarga,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Aminuddin turut menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button