BeritaMenarik

Penginapan pekerja asing yang kotor diserbu

JEMPOL: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS) telah menjalankan serbuan keatas sebuah syarikat di Rompin setelah mendapat aduan. Operasi in turut disertai wakil Majlis Daerah Jempol, Imigresen, PDRM, PERKESO dan DOSM.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, hasil serbuan ini mendapati penginapan pekerja warga asing dalam keadaan yang daif dan kotor serta tidak mengikut kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh JTKNS.

“Saya meminta majikan supaya semua pekerja asing ini dipindahkan ke Pusat Penginapan (CLQ) yang mendapat perakuan pihak JTK dalam masa dua minggu.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri Sembilan di bawah portfolio saya telah mengarahkan majikan termasuk subkontraktor memindahkan kesemua pekerja yang menduduki penginapan haram yang tidak mendapat perakuan daripada pihak JTK dalam masa tiga bulan kepada CLQ yang berdaftar dengan pihak berkuasa termasuk JTK dan PBT,” katanya.

Menurut Veerapan, menerusi data dan rekod JTKNS sehingga Februari 2024, terdapat pusat penginapan pekerja (CLQ) dengan 25 penyedia pusat yang diperaku masih mempunyai kekosongan iaitu sebanyak 3,751 orang.

“Maka majikan tidak mempunyai alasan untuk tidak menempatkan pekerja asing yang digajikan di pusat penginapan yang telah diberi perakuan.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kegagalan majikan untuk mendapatkan perakuan penginapan daripada pihak JTK adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 bagi setiap kesalahan.

“Justeru itu, saya juga meminta supaya pihak JTKNS bertindak secara tegas dalam isu menangani menerusi lunas undang-undang bagi memastikan tiada lagi pekerja asing yang ditempatkan di pusat penginapan haram.

“Dengan ini kita dapat mewujudkan suasana yang lebih kondusif kepada pekerja asing selain menjaga kebajikan mereka,” jelas Veerapan yang juga ADUN Repah.

Show More

Related Articles

Back to top button