SEREMBAN: Pendapatan Negeri Roadstone Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Sembilan; melonjak kepada RM81.50 juta berbanding RM50.17 juta pada tahun 2019.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Roadstone Sdn Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM8.94 juta yang merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Kerajaan Negeri menerusi pegangan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) menerima dividen berjumlah RM1.5 juta dan ini adalah dividen tertinggi yang pernah diperoleh Kerajaan Negeri.
“Besarlah harapan saya agar Negeri Roadstone Sdn Bhd dapat terus membangunkan kepakaran dalam pembangunan infrastruktur jalan raya, perparitan, pengeluaran kuari batu dan industri yang berkaitan.
“Saya juga berharap agar pihak pengurusan dapat terus menjalankan amanah dengan baik dan ikhlas agar syarikat terus berkembang dan memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri serta masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian dalam majlis ringkas penyerahan dividen Negeri Roadstone Sdn Bhd kepada PKNNS di Kediaman Rasmi petang Sabtu.