Berita

Negeri Sembilan bakal memiliki kilang pembuatan kereta EV kedua

BANDAR BARU NILAI: Sebuah kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) bakal dibina di sebuah kawasan yang akan dibangunkan sebagai Auto City, Bandar Pintar Nilai (Nilai Smart City).

Projek usahasama Nilai Resources Group Sdn Bhd dan China Shandong International Sdn Bhd ini melibatkan tanah seluas 1,800 dan akan terbahagi kepada tujuh zon utama.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Zon Auto-City merupakan hab automotif moden yang merangkumi bilik pameran kenderaan, kedai alat ganti, pusat servis, teknologi automotif, serta pusat rawatan estetik berkaitan gaya hidup automotif.

“Zon Bandar Pintar pula pusat teknologi digital dan AI untuk menyokong pembangunan bandar pintar, termasuk sistem automasi bandar, pusat data, keselamatan siber, serta makmal inovasi teknologi.

“Manakala Zon Pembuatan Kereta Elektrik melibatkan kemudahan pembuatan kenderaan elektrik (EV) berserta ekosistem sokongan seperti pengeluaran bateri, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemasangan, dan pengedaran global.

“Zon Pergudangan akan menyediakan kompleks logistik dan pergudangan berskala besar untuk menyokong rantaian bekalan, pusat pengedaran, dan e-dagang, dengan operasi dipacu automasi dan pengurusan pintar,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, Zon Perubatan akan menawarkan pusat perubatan moden, hospital pakar, serta fasiliti kesihatan dan kesejahteraan komuniti yang dilengkapi teknologi rawatan terkini dan sistem rekod kesihatan digital.

“Zon Perumahan melibatkan pembangunan perumahan moden dengan reka bentuk lestari, ruang hijau, dan kemudahan komuniti yang lengkap bagi menyokong kualiti hidup seimbang.

“Zon ketujuh pula Zon Pendidikan yang akan menempatkan institusi pendidikan, pusat latihan dan penyelidikan dengan pendekatan digital serta inovasi pintar bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Smart City,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, beliau difahamkan bahawa projek pertama (Fasa 1) bagi pembangunan Bandar Pintar Nilai ialah Auto-City dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1 bilion.

“Pembangunan ini dijangka menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung meliputi bidang teknikal, perkhidmatan, logistik, pemasaran dan pengurusan.

“Auto City akan menjadi hab automotif moden yang merangkumi bilik pameran kenderaan, kedai alat ganti, pusat servis, pusat rawatan estetik automotif, serta ruang gaya hidup berteraskan teknologi.

“Kehadiran Auto-City bukan sahaja akan menarik jenama automotif antarabangsa, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan dan ekosistem industri automotif serantau,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Auto City, Bandar Pintar Nilai.

Turut hadir, Pengerusi Nilai Resources Group Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Dr. Gan Kong Seng; Pengerusi Shandong Hi-Speed Group Co Ltd, Wang Qifeng dan Presiden Export – Import Bank of China (Cawangan Shandong), Gao Zefeng.

Untuk rekod, pada Januari 2024 Aminuddin mengumumkan sebuah kilang pembuatan kereta elektrik ‘Green Technology’ pertama dalam negara sedang dibangunkan di Kawasan Perindustrian Chembong, dekat Rembau.

Kilang tersebut dibangunkan oleh syarikat Careplus dengan kerjasama GoAuto dan NexC Manufacturing Sdn Bhd di atas tanah seluas 73.34 ekar.

Apabila fasa pertama ini siap ia mampu mewujudkan sebanyak 600 peluang pekerjaan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button