BeritaMenarik

Negeri Sembilan perketat permohonan lesen penjaja, kekang warga asing berniaga

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengenakan syarat tambahan kepada semua pemohon dan pembaharuan lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah membendung salah guna lesen membabitkan warga asing.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J.Arul Kumar berkata, PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan.

“Bagaimanapun terdapat beberapa kes membabitkan lesen yang dikeluarkan kepada warga tempatan telah disalah guna oleh segelintir peniaga berkenaan.

“Mereka tidak bertanggungjawab dan membenarkan atau menyewa lesen tersebut kepada warga asing bagi menjalankan operasi perniagaan.

“Justreru itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan syarat tambahan ke atas lesen perniagaan bagi sektor peruncitan dan perdagangan yang melibatkan warga asing,” katanya.

Syarat-syarat tambahan permohonan lesen:

1. Setiap pemohon lesen perlu mendaftar/mendapatkan nombor fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terlebih dahulu dan mengemukakannya kepada PBT bagi membolehkan permohonan lesennya diproses.

2. Bagi setiap satu premis perniagaan hanya akan diluluskan satu jenis lesen perniagaan sahaja.

3. Pemilik lesen atau wakil (warga tempatan) perlu berada di premis dalam setiap masa operasi perniagaan.

4. Warga asing tidak dibenarkan bertugas di kaunter kewangan (cashier).

5. Semua pekerja warga asing (maksimum dua pekerja) wajib mempunyai permit yang sah daripada pihak berkuasa berkaitan.

6. Hanya pekerja warga asing yang diluluskan permit bekerja di sektor peruncitan dan perdagangan sekitar Negeri Sembilan dibenarkan bekerja di premis perniagaan tersebut.

7. Pekerja warga asing yang telah diluluskan permit bekerja dengan majikan berkenaan sahaja dibenarkan bekerja di premis tersebut.

8. Pemilik lesen perlu sentiasa mengemaskini senarai daftar pekerja warga asing yang mengandungi maklumat nama penuh, nombor kad pengenalan/pasport, kerakyatan alamat tempat tinggal, nombor telefon, kelayakan, gambar dan lain-lain butiran berkaitan pekerja.

Dalam pada itu, Arul Kumar juga mengumumkan beberapa jenis lesen perniagaan yang tidak dibenarkan untuk menggaji pekerja warga asing iaitu pusat siber, pasar malam, Bazar Ramadhan, Pasar Tani, ekspo, kiosk makanan dan apa-apa kiosk lain.

“Pembatalan lesen akan dibuat serta merta sekiranya berlaku pelanggaran pada syarat lesen ini walaupun sebelum tamat tempoh sahnya.

“Mereka dibenarkan membuat rayuan selepas disenarai hitam selama setahun.

“Syarat tambahan ini akan digunapakai semasa pembaharuan lesen bermula tahun 2024,” jelas Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button