Negeri Sembilan sedia 206 PPS hadapi bencana banjir
SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah melaksanakan tindakan kesiapsiagaan menghadapi banjir dengan menyediakan 206 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Sembilan.
Exco Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, PPS ini mampu menampung seramai 65,870 mangsa bencana alam dalam satu masa.
“PPS ini terdiri daripada fasiliti sekolah, dewan Orang Ramai, balai raya dan Pusat Komuniti Setempat.
“Saya juga dimaklumkan JKM Negeri Sembilan juga telah bersiap siaga dan sentiasa bersedia untuk menggerakkan sumber manusia seramai 642 orang yang terdiri daripada 463 Pegawai JKM, lapan Kaunselor atau Pegawai Psikologi dan 171 sukarelawan JKM,” kata Nicole.
Nicole berkata demikian di Majlis Penutup Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS Negeri Sembilan tahun 2022.
Tujuan program ini diadakan sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun 2022.
“Saya juga berharap program ini dapat menjelaskan peranan dan tanggungjawab setiap jawatankuasa pusat pemindahan,memantapkan lagi gerakkan kerjasama agensi kerajaan,swasta, sukarelawan, kebajikan, pemimpin tempatan dan komuniti pengurusan bencana.Semoga dengan kejayaan simulasi ini, pengurusan bencana khusus di PPS akan menjadi lebih lancar pada masa akan datang,” ujar Nicole.