BeritaMenarik

Nelayan Port Dickson terima pampasan RM1,000 sebulan untuk 12 tahun

SEREMBAN: Seramai 31 nelayan yang terkesan dengan projek pembangunan Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson menerima pampasan RM1,000 sebulan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri melalui MBI telah berbincang dengan Kuala Lumpur Metropolitan (M) Sdn Bhd (KL Metro) dan pihak KL Metro bersetuju untuk memperuntukkan bayaran CSR selama 12 tahun bagi program-program CSR di Negeri Sembilan termasuk pampasan nelayan di kawasan Kampung Telok Pelandok.

“Penerima telah menerima pampasan sebanyak RM1,000 sejak bulan Jun lalu dan bayaran pampasan ini akan berterusan sehingga 12 tahun bagi memastikan para nelayan yang terlibat tidak terjejas dari segi hasil pendapatan.

“Penerima dari kalangan ahli Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang (PNKTK) terdiri daripada 20 orang pemilik bot dan 11 orang awak-awak di mana penerima merupakan nelayan vessel tradisional.

“Sememangnya lokasi yang terlibat dalam Pembangunan Lexis Hibiscus 2 merupakan sebahagian dari lokasi penangkapan hasil laut oleh PNKTK yang berpengkalan di Pengkalan Telok Pelandok sebelum ini.

“Umumnya, nelayan yang berdaftar di Port Dickson adalah seramai 611 orang dengan jumlah tangkapan sebanyak 187 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM 3.1 juta.

“Secara khusunya, nelayan di Pengkalan Nelayan Telok Pelandok menyumbang 6% dari hasil tangkapan keseluruhan di Port Dickson,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, kerja-kerja pembinaan Lexis Hibiscus 2 telah bermula pada bulan Jun 2024 dan majlis perasmian pecah tanah telah diadakan pada 26 Julai 2024.

“Projek yang berimpak tinggi kepada pembangunan industri pelancongan negeri ini melibatkan kawasan yang menjadi lokasi awal para nelayan beroperasi sama ada untuk penangkapan hasil laut atau laluan bot untuk menaikkan hasil tangkapan.

“Projek ini akan berjalan selama lima tahun bermula 2024-2029 dengan nilai pembangunan sebanyak RM1.6 bilion.

“Komponen projek terdiri daripada 1,710 buah unit bilik iaitu 910 buah unit water homes dan 800-unit hotel suites,” jelas Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button