Berita

Nicole seru pengundi atas pagar keluar mengundi

SEREMBAN: Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon menyeru pengundi atas pagar, agar keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

“Sedia maklum terdapat sejumlah pengundi tidak berparti yang tidak mahu keluar mengundi kerana kecewa dengan episod ahli parlimen yang melompat parti yang menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan digulingkan pada Februari 2020.

“Mana ada parti yang tidak mempunyai masalah dalaman? Ini adalah lumrah dalam politik.

“Namun, bagi mengelakkan ahli parlimen melompat parti pada masa akan datang, Akta Anti Lompat Parti telah digazetkan.

“Maka pengundi atas pagar tidak perlu risau dengan mandat yang mereka akan beri kepada calon PRU-15,’ jelas Nicole.

Nicole seru pengundi atas pagar keluar mengundi

Nicole berkata, pengundi atas pagar ini yang akan menentukan masa depan negara.

“Masa depan negara bergantung kepada pengundi atas pagar kerana mereka merupakan segmen paling besar dalam jumlah pengundi.

“Pakatan Harapan mampu melakukan pelbagai pembaharuan dalam tempoh 22 bulan.

“Sekiranya diberi mandat lima tahun, Pakatan Harapan mampu melakukan lebih banyak perubahan demi kesejahteraan rakyat,” ujar Nicole.

Justeru itu, Nicole menyeru pengundi atas pagar keluar mengundi ramai-ramai dan memberi kemenangan kepada calon Pakatan Harapan.

Penganalisa politik Wong Chin Huat baru-baru ini secara simbolik berkata, tiada parti politik yang boleh menang majoriti pada PRU-15.

Pandangan beliau, parti yang akan menang majoriti ialah ‘Parti Aku Malas Undi’ (PAMU) merujuk kepada pengundi atas pagar yang bosan dengan kemelut politik yang berpanjangan dalam negara dan tidak mahu keluar mengundi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button