SEREMBAN: Penyerang dari Sepanyol, Miguel Angel Junco, secara rasminya telah diumum menyertai Negeri Sembilan FC musim ini.
Lebih dikenali dengan nama panggilan Mika, pemain yang berusia 31 tahun ini bakal mengetuai jentera serangan Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super yang bakal bermula 12 Mei 2024.
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Ab Aziz berkata, ketibaan Mika dijangka memberi impak yang positif kepada pasukan, terutamanya pada bahagian serangan. Menurutnya, ia penting dalam usaha pasukan untuk meningkatkan prestasi dalam saingan liga.
“Kehadiran beliau diharapkan dapat membantu meningkatkan kestabilan pasukan serta menambah pilihan strategi dalam permainan.
“Saya yakin dengan pengalaman dan reputasinya, serta kerjasama dari semua pemain, pasukan kita dapat memberi saingan yang baik musim ini,” katanya lagi.
Bagi Mika pula, ini kali pertama beliau beraksi di Malaysia. Beliau mengikuti rapat perkembangan bola sepak di Asia Tenggara kerana pernah beraksi di Liga Premier Kemboja bersama pasukan Svay Rieng.
Bekas penjaring terbanyak dan pemain terbaik Ykkösliiga (Divisyen 2 Finland) musim 2022 ini nyata teruja untuk mewakili pasukan Negeri Sembilan FC.
“Sudah tentu saya mahu membantu pasukan dan menjaringkan gol sebanyak yang boleh. Saya mengenali kelab ini ketika beraksi di Kemboja dan saya gembira dapat beraksi bersama pasukan ini,” ujar Mika yang beraksi bersama pasukan FC KTP di Liga Finland pada musim 2020, 2022 dan 2023.
Bersama FC KTP, Mika telah beraksi sebanyak 61 perlawanan. Beliau telah menjaringkan sebanyak 36 gol serta mencatatkan 10 bantuan gol.
Keputusan untuk mengambil Mika sebagai penyerang baharu menunjukkan tekad pasukan untuk meningkatkan prestasi dalam saingan Liga Super 2024 – 2025. Dengan sokongan padu dari penyokong, pasti Mika dapat membantu skuad Hobin Jang Hobin mencapai matlamat yang disasarkan musim ini.
Berusia 31 tahun, penyerang yang berasal dari Sepanyol ini memiliki ketinggian 1.77 m.
Beliau menyertai Negeri Sembilan FC dari kelab Finland, FC KTP.
Mika bakal menggunakan jersi bernombor 9 musim ini.
Sumber/Kredit: Negeri Sembilan Football Club