Berita

Pelbagaikan jualan, tingkatkan pendapatan koperasi sekolah: AMINUDDIN

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mencadangkan koperasi sekolah mempelbagaikan jualan bagi meningkatkan pendapatan koperasi tersebut.

“Selain menjual buku dan alat tulis, fikirkan menjual sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kuasa beli di kalangan guru-guru mampu membangunkan dan meningkatkan pendapatan koperasi.

“Selepas lebih dua tahun negara dan dunia berdepan krisis kesihatan Covid-19, ketidaktentuan ekonomi negara mengakibatkan sedikit banyak gangguan rantaian bekalan makanan.

“Justeru, seluruh gerakan koperasi boleh memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara dan Negeri Sembilan khususnya,” katanya.

Aminuddin berkata, kesedaran dan minat menyertai koperasi dapat dipupuk menjadi satu gaya hidup terutama di institusi pendidikan dan sekolah seluruh Negeri Sembilan yang akan menyumbang kepada kemakmuran sosio-ekonomi Negeri Sembilan.

“Saya yakin bahawa koperasi adalah pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan, bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam mendidik dan mendedahkan golongan pelajar tentang dunia perniagaan,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Makan Malam Gabungan Koperasi Sekolah Negeri Sembilan Berhad di Klana Resort.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button