Berita

Pembuangan sampah haram di Taman Seremban Jaya, dapat perhatian Gunasekaren

SEREMBAN JAYA: Isu pembuangan dan longgokan sampah haram yang mencacatkan pemandangan persekitaran di kawasan premis perniagaan di Jalan SJ 8/1 Taman Seremban Jaya (Fasa 8) mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren.

Gunasekaren telah mengadakan satu perjumpaan dengan wakil pengurusan SW Corp, Encik Akmal dan SWM, Encik Santheru.

“Isu yang tidak berkesudahan ini terus menjadi isu hangat berikutan sikap segelintir individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di Jalan SJ 8/1 dengan sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan keselesaan pengusaha premis.

“Saya amat kecewa mereka ini tidak sama sekali merasa bersalah atas pencemaran dan pelbagai sampah yang dibuang begitu bersahaja.

“Cadangan kerja-kerja pembersihan, pemantauan dan pemasangan CCTV turut dibincangkan bagi mencari jalan penyelesaian,” kata Gunasekaren.

Ubah sikap dan jangan pentingkan diri sendiri

Gunasekaren menasihatkan pihak yang berkenaan agar jangan membuang sampah di merata tempat.

“Ubah sikap dan jangan bersikap pentingkan diri sendiri dengan mencemarkan persekitaran dengan pembuangan sampah seperti ini.

“Menjaga kebersihan persekitaran adalah tanggungjawap bersama.

“Sekiranya mempunyai maklumat pembuangan sampah di tempat yang tidak sepatutnya, sila laporkan segera di pejabat saya, Ahli Majlis atau Pegawai Penguatkuasa untuk tindakan sebagai pengajaran,” ujar Gunasekaren.

Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Puan Jamilah Said Ali dan Pembantu Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Encik P.Minnal.

Show More

Related Articles

Back to top button