Berita

Penjawat awam Kerajaan Persekutuan terima bonus duit raya’ RM500 dari Aminuddin

SEREMBAN: Buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Negeri Sembilan telah menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, seramai 723 pegawai persekutuan dari lapan jabatan negeri menerima BKK berjumlah RM500 seorang.

“Jabatan yang terlibat adalah Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sumbangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka kerana telah melaksanakan tangunggjawab dengan cemerlang sepanjang tahun 2021 dan suku tahun 2022,” kata beliau.

Aminuddin berkata, turut menerima BKK Aidilfitri adalah Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan seluruh Negeri.

“Seramai 138 orang ahli majlis bagi Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah menerima BKK Aidilfitri sebanyak RM600 seorang.

“Seramai 24 orang ahli majlis bagi Majlis Bandaraya Seremban pula akan menerima BKK sebanyak RM1,000 seorang.

“Sumbangan ini adalah sebagai menghargai peranan dan tanggungjawab ahli majlis dalam merealisasikan pembangunan mampan di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin.

Aminuddin turut mengucapkan tahniah kepada Pejabat Kewangan Negeri, Negeri Sembilan serta Pejabat Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan yang bertungkus lumus merealisasikan penyaluran bantuan ini.

“Semoga BKK Aidilfitri yang disalurkan ini memeriahkan sambutan Aidilfitri semua penerima,” katanya.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button