Penjawat Awam Wanita Negeri Sembilan dibenarkan pulang pada pukul 2 petang sepanjang Ramadan – Aminuddin
SEREMBAN: Penjawat awam wanita di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan diberikan kelonggaran waktu bekerja khas sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata seramai 2,496 penjawat awam wanita dibenarkan bekerja sehingga pukul 2 petang pada hari Jumaat dengan waktu rehat dilanjutkan sebelum dibenarkan pulang.
“Sepanjang Ramadan 2026, penjawat awam wanita Negeri Sembilan diberikan kelonggaran pengaturan waktu bekerja pada hari Jumaat di mana mereka dibenarkan pulang pada pukul 2 petang selepas penjawat awam lelaki selesai menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di Wisma Negeri, disini.
Pelaksanaan pengaturan khas ini melibatkan penjawat awam wanita yang berkhidmat di Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pihak berkuasa tempatan (PKB) serta badan-badan berkanun negeri.
Langkah ini bertujuan memberi kemudahan kepada penjawat awam wanita sepanjang bulan Ramadan di samping memastikan kelancaran urusan pentadbiran negeri terus berjalan dengan teratur.




