Pendidikan seks perlu pendekatan menyeluruh

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, pendidikan seks di Malaysia perlu diberi perhatian lebih serius dengan pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan pelbagai agensi kerajaan.
“Isu pendidikan seks tidak boleh terus dianggap topik tabu, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu elemen penting dalam pembentukan nilai dan perlindungan kanak-kanak serta remaja, terutamanya dalam dunia digital masa kini.
“Pendidikan seks memang sudah wujud dalam kurikulum sekolah, tetapi kandungannya sangat sedikit dan kurang ditekankan. Ini satu kekurangan yang perlu dibaiki segera.
“Kementerian akan terus memastikan program keibubapaan akan mengandungi elemen pendidikan seks bagi membantu ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak secara terbuka dan selamat mengenai topik ini.
“Perkara ini turut dibincangkan di peringkat tertinggi, termasuk mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Isu ini bukan hanya menjadi tanggungjawab kementerian semata-mata, tetapi memerlukan pendekatan bersepadu dan yang paling penting membawa ibu bapa bersama dalam usaha mendidik anak-anak mengenai nilai dan keselamatan diri,” kata Nancy.