BeritaProgram

Perutusan Hari Raya Menteri Besar Negeri Sembilan

Selama sebulan Ramadhan yang mulia dan berkat, kita telah menjalani latihan Rabbani yang sangat indah, sangat manis dan menarik. Setiap petang umat Islam seolah-olah menjadi tetamu ke majlis jamuan Pemerintah alam yang Maha Agong.

Duduk di hadapan makanan, seolah-olah sedang menunggu keizinan dan dipersilakan oleh Tuhan, Pemilik diri dan Penyedia makanan. Suasana meriah dengan tadarrus Al-Qur’an, solat tarawih dan qiam, menjadikan dunia Islam seperti masjid yang besar.

Solat terawih di 27 buah masjid

Bertambah nikmat syukur, kerana tahun ini kita dihadiahkan Allah kembali memakmurkan masjid dan surau dengan solat fardu dan solat terawih berjemaah. Bahkan kita dapat menghidup 10 akhir Ramadhan dengan qiam dan iktikaf di masjid.

Saya turut berpeluang berjemaah dan bertarawih di 27 buah masjid sepanjang Ramadhan ini serta berkesempatan menyertai anak muda dalam program qiamullail di dua buah masjid, iaitu Masjid Kariah Kampung Paya, Port Dickson dan Masjid Kariah Dato Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat. Bagi saya ini adalah hadiah dan pengalaman yang sangat manis dan membahagiakan.

Walaupun keghairahan memakmurkan masjid masih tidak setanding tahun 2019 iaitu sebelum PKP, namun saya berharap masjid-masjid di Negeri yang bertuah ini akan terus bertambah jemaah, terutama di kalangan generasi muda dan aktif berfungsi menjadi pusat membangunkan umat yang berkualiti.

Bonus Aidilfitri kepada penjawat awam

Kita juga bersyukur Ramadhan kali ini, Kerajaan Kegeri dapat membantu mengurangkan keperitan kenaikan harga barang yang kita hadapi saat ini. Kita berupaya memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji dan minima RM1000 ke atas penjawat awam Negeri Sembilan. Pertama kali dalam sejarah negeri ini, berkat Ramadhan, kita juga dapat memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 723 penjwat awam persekutuan yang berkhidmat di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Anak syarikat Kerajaan Negeri kongsi keuntungan bantu fakir miskin

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan juga telah menaikkan bantuan ke atas asnaf faqir miskin. Bantuan daripada daripada RM250 kepada RM300 hingga RM800, mengikut keperluan dan isi rumah.

Selain itu, bersyukur juga atas kejayaan syarikat-syarikat GLC negeri seperti Negeri Roadstone dan Gemencheh Granite, semakin hari syarikat-syarikat ini semakin membuat keuntungan yang besar. Sebagai tanda syukur, syarikat ini juga telah mengagihkan sebahagian zakat mereka dalam Ramadhan tahun ini .

Begitu juga dengan MBI Corporation yang telah mengagihkan sebanyak RM1.3 juta membantu fakir miskin di Negeri Sembilan. Harapan kita semoga Allah sentiasa memberkati Kerajaan Negeri, MAINS, MBI dan syarikat-syarikat GLC negeri ini. Teruskan menyumbang, berkhidmat dan berbakti dengan ikhlas kerana Allah.

Rumah Terbuka Aidilfitri

Mewakili barisan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan saya ingin menjemput seluruh rakyat untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan pada 21 Mei 2022 bermula jam 11 pagi sehingga 3 petang di Dewan Majlis Besar Majlis Bandaraya Seremban.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin kepada semua. Semoga ibadat puasa dan setiap kerja yang kita lakukan diterima dan diredhai oleh Allah.

Salam Negeri Sembilan. Bersih, Muafakat, Sejahtera.

YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun,

Menteri Besar Negeri Sembilan,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat,
Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan,
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KeADILan Negeri Sembilan.

1 SYAWAL 1443 H / 02 MEI 2022

Show More

Related Articles

Back to top button