Pesta Tarik Tali Ngoca galak masyarakat pelihara kualiti air sungai
PILAH: Pesta Tarik Tali Ngoca yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS) menggalakkan masyarakat menghargai serta memelihara kualiti air sungai.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, program ini dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat terhadap aktiviti yang sewajarnya dilaksanakan bagi melindungi sumber air utama iaitu sungai bagi tujuan pengairan, domestik, perindustrian, akuakultur dan sebagainya
“Kerajaan Negeri berharap usaha bagi melestarikan sumber air di samping memastikan jaminan makanan negara yang mampan.
“Besarlah harapan saya agar program seperti ini dapat mengembalikan tarikan dan mencipta rantaian aktiviti di sepanjang tepian sungai dan sebagai galakan menarik minat masyarakat agar menghargai pertanian di Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Pesta Tarik Tali Ngoca yang bertempat di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata pemilihan tapak sawah padi di Skim Terachi ini bukan sahaja menunjukkan kesungguhan Kerajaan dalam merealisasikan galakan menghargai sumber air malahan pemilihannya juga menunjukkan bahawa keprihatinan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memberikan perhatian kepada skim-skim pengairan padi di seluruh Negeri Sembilan.
“Ini bagi memastikan jaminan makanan negara di Negeri Sembilan akan terus terpelihara,’ ujarnya.
Foto: Nabil Syafiq