Berita

Petronas sumbang dua bot dan 300 khemah hadapi banjir di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Petronas menyumbang dua buah bot berenjin, 300 khemah C-Tent, 150 unit jaket keselamatan dan 1,500 helai baju hujan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan ini mampu membantu meringankan beban agensi-agensi dalam menjalankan usaha membantu mangsa banjir semasa berlakunya bencana.

“Saya percaya dengan perancangan yang rapi serta bantuan yang mencukupi dapat memastikan pengurusan bencana yang lebih efektif boleh dijalankan terutamanya di kawasan-kawasan hotspot yang kerap kali dilanda bencana khususnya di Negeri ini.

“Kami juga bersyukur dan berterima kasih dengan peruntukan sebanyak RM25 juta oleh Petronas dari Disember 2021 sehingga ke Disember tahun ini untuk tujuan bantuan pengurusan bencana banjir di serata Malaysia.

“Saya juga berharap agar bantuan ini juga dipanjangkan kepada mangsa-mangsa yang terkesan daripada bencana banjir,” kata Aminuddin di Program Serahan Bantuan Bencana Petronas Peringkat Negeri Sembilan di APM Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, sumbangan pra-bencana banjir dari Petronas ini disalurkan melalui APM Negeri Sembilan sebagai sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pihak swasta dan konglomerat yang ingin membantu dalam meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button