Berita

Projek F&N di Gemas bakal buka 600 peluang pekerjaan

SERI MENANTI: Sehingga suku ketiga tahun 2025, Negeri Sembilan telah mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM6.2 bilion.

Dalam perkembangan yang sama, Projek F&N di Gemas telah beroperasi pada suku pertama tahun 2025.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Fasa 1 dianggarkan menyumbang 300 peluang pekerjaan baharu.

“Apabila keseluruhan fasiliti beroperasi sepenuhnya, kapasiti guna tenaga dijangka meningkat kepada 600 peluang pekerjaan, sekali gus memberi impak positif terhadap pasaran buruh tempatan di negeri ini.

“Pada tahun 2026 ini, Negeri Sembilan dijangka mampu meningkatkan kemasukan pelaburan bernilai RM8.0 bilion, mencerminkan pertumbuhan berterusan dan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri untuk rakyat ‘Tinggal, Bekerja dan Riadah’ di negeri tercinta ini,” ujar beliau.

Aminuddin tambah, menuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), Negeri Sembilan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi daya saing ekonomi negeri.

“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan KDNK negeri ini secara mampan dan inklusif, dengan memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama yang berpotensi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Alhamdulillah, gelora ekonomi dunia melalui prakarsa baharu yang mampan diperkukuh melalui Majlis Pelaburan Negara yang bersidang pada 16 Oktober 2024 telah meluluskan Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah yang merangkumi Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini bagi mewujudkan identiti kluster industri khusus dalam sektor pembuatan melalui usahasama dan sinergi kolaborasi antara negeri dalam memacu pelaburan bersasar,” katanya.

Menurut Aminuddin lagi, ssaha ini juga sejajar dengan agenda yang diterapkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas bagi tempoh 2026-2030 yang menyenaraikan pelaburan syarikat kejuruteraan Sweden iaitu Sandvik Equipment, Bandar Sendayan, Negeri Sembilan antara pelaburan bernilai tinggi di Malaysia.

Selain itu keutamaan pembangunan di setiap negeri dalam projek berorientasi rakyat telah dikenal pasti turut melimpahi rakyat di Negeri Sembilan melalui projek peningkatan kemudahan Negeri Sembilan Miniature Culture Village.

Tumpuan akan diberikan kepada inisiatif pembangunan zon pelaburan pelancongan (STIZ) khususnya di Negeri Sembilan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu seperti pelancongan berasaskan aset seni, budaya dan warisan serta alam semula jadi selaras dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Artificial Intelligence dan transformasi digital

Aminuddin berkata, ikhtiar Kerajaan Negeri diteruskan dengan pendekatan yang menekankan reformasi bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), transformasi digital dan transisi tenaga sebagai teras pembangunan negeri, termasuk dalam sektor awam.

Pendekatan ini selari dengan keperluan semasa dan hala tuju ekonomi masa hadapan, bagi memastikan perkhidmatan kerajaan menjadi lebih cekap, responsif dan berasaskan data.

Pelaksanaan teknologi digital dan AI dalam pengurusan bandar, perancangan pembangunan serta penyampaian perkhidmatan awam akan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos jangka panjang dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran negeri.

“Dalam usaha merealisasikan transformasi ini, Bandaraya Seremban kini melangkah ke fasa kedua pembangunan bandar pintar (Developing Smart City) sebagai sebahagian daripada rangka kerja pembangunan bandar yang berdaya huni, berdaya saing dan lestari.

“Fasa ini memberi penekanan kepada penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan trafik, keselamatan bandar, perkhidmatan perbandaran serta perancangan guna tanah yang lebih mampan.

“Di samping itu, pembangunan bandar pintar ini turut menyokong agenda transisi tenaga melalui galakan penggunaan tenaga bersih, mobiliti hijau dan amalan rendah karbon, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan negeri dan negara.

“Dalam jangka panjang, pembangunan Bandaraya Seremban sebagai bandar pintar akan memberi impak besar kepada Negeri Sembilan dari segi daya tarikan pelaburan bernilai tinggi, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran, serta peningkatan kualiti hidup rakyat,” jelas beliau.

Menurut Aminuddin, ekosistem digital dan teknologi yang kukuh akan meletakkan Negeri Sembilan sebagai destinasi strategik bagi industri masa hadapan, khususnya dalam sektor teknologi, data dan tenaga hijau.

“Lebih penting, usaha ini bukan sekadar membina bandar yang moden, tetapi membentuk masa depan negeri yang berdaya tahan, inklusif dan sejahtera untuk generasi akan datang.

“Selain dari projek-projek pembangunan fizikal, Kerajaan Negeri juga terus sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuanku serta berdoa agar dipermudah menangani isu permasalahan kesihatan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan RM1 juta dalam Belanjawan 2026 bagi membantu pesakit kanser di negeri ini melalui pemberian bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000 kepada mereka yang layak.

“Inisiatif yang julung kali diperkenalkan itu merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap pesakit kanser yang semakin meningkat saban tahun.

“Selain itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan rawatan pembedahan AV Fistula bagi pesakit kurang berkemampuan untuk rawatan hemodialisis sejak tahun 2021 dan bantuan perolehan alat Implan Ortopedik yang juga telah bermula pada tahun 2020,” ulas Aminuddin lagi.

Aminuddin berkata demikian semas sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan Ke-78 DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah.

 

Show More

Related Articles

Back to top button