Berita

Projek naiktaraf jalan Palong telah diangkat permohonan kepada Kementerian Kerja Raya

SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengangkat permohonan menaiktaraf jalan utama Palong (Laluan FT044) dari Seksyen 10.00 hingga Seksyen 25.00 serta menaiktaraf persimpangan Palong 7 dan 8, di Jempol pada Rolling Plan Ke-1, RMKe-13 kepada Kementerian Kerja Raya untuk kelulusan kelak.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, JKR telah melaksanakan pemasangan tambahan 16 lampu jalan di Jalan FT044 dengan jumlah RM200,000 pada tahun 2024.

Persimpangan masuk ke FELDA Palong 2 terletak di Laluan Persekutuan FT044, jalan utama Palong.

“Bagi persimpangan masuk ke FELDA Bukit Rokan Barat pula, persimpangan tersebut berada di Laluan Persekutuan FT1278, Jalan Bukit Rokan Barat.

“Pihak JKR akan melaksanakan siasatan terperinci di tapak terlebih dahulu akan keperluan untuk menaiktaraf simpang tersebut.

“JKR Negeri Sembilan sentiasa proaktif dan sentiasa memantau keadaaan struktur jalan dan keselamatan jalan di bawah seliaan jabatan.

“Umum diketahui, semasa awal pembangunan tanah Rancangan FELDA, jalan-jalan raya utama di dalam kawasan FELDA hampir keseluruhannya dibina dengan rekabentuk Piawaian Standard JKR R2 dengan tiada bahu jalan yang berturap serta susur masuk persimpangan yang minimum,” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, berbangkit daripada isu ini, satu sesi lawatan tapak ke Daerah Jempol oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Sektor Dasar Dan Pembangunan, Kementerian Kerja Raya, telah diadakan pada Jun 2024 yang lalu, bagi memantau serta melihat sendiri isu dan masalah serta keadaan fizikal Jalan Persekutuan yang berada di Daerah Jempol terutama di kawasan FELDA untuk tindakan penyelesaian selanjutnya.

“Selain daripada itu, kelulusan permohonan juga telah diberikan bagi tajuk projek Menaiktaraf Laluan FT011 Jalan Bahau-Keratong (Seksyen 32.00 Hingga Seksyen 40.00), Daerah Jempol, Negeri Sembilan oleh Kementerian Kerja Raya semasa permohonan pada Rolling Plan Ke-5, RMKe-12 yang lalu.

“Taklimat tender bagi melantik Jurukur dan Perunding Awam dan Struktur telah dilaksanakan pada 27 Mac 2025 yang lalu.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN), di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Mohd Zaidy meminta Persimpangan Felda Palong 2 dan Felda Bukit Rokan Barat perlu dinaiktaraf dan dilebarkan untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan raya ini.

“Keadaan ini amat bahaya kerana persimpangan ini di waktu malam amatlah gelap, tiada pencahayaan, malah apabila ada kereta atau lori untuk masuk ke simpang maka kereta di bahagian belakang terpaksa menyusur ke tepi memasuki bahu jalan untuk melepasi kereta yang berhenti di tengah-tengah jalan.

“Adakah cadangan menaiktaraf persimpangan ini telah diangkat untuk dilaksanakan di masa akan datang.

“Adakah sebelum ini pihak JKR telah membuat tinjauan dan pemerhatian perkara ini,” tanya Mohd Zaidy.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button