Berita

Liputan internet dan komunikasi di Negeri Sembilan capai 99.9 peratus

SEREMBAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (Pelan JENDELA) dalam usaha untuk menambahbaik tahap kesalinghubungan dan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Sembilan termasuk di kawasan DUN Seri Menanti.

Setakat 31 Januari 2025, liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Negeri Sembilan telah mencapai 99.9 peratus.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, melalui inisiatif Pelan JENDELA bagi kawasan DUN Seri Menanti, sebanyak empat daripada lima menara komunikasi baharu telah siap dibina dan berbaki satu tapak yang dirancangkan bagi meningkatkan liputan komunikasi di sekitar Kampung Purun, Tanjung Ipoh.

“Selain itu, sebanyak 20 daripada 22 stesen pemancar sedia ada telah siap dinaik taraf.

“Bagi pelaksanaan perkhidmatan gentian optik, sebanyak 645 daripada 1,729 premis telah dilengkapi dengan kesalinghubungan perkhidmatan gentian optik berkeupayaan gigabit.

“Baki inisiatif yang sedang dalam pelaksanaan dijangka siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2025,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, MCMC telah melaksanakan ujian perkhidmatan selular di sekitar Kuala Pilah dan terdapat lima ketidak patuhan kepada standard yang ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Standard Mandatori Kualiti Pekhidmatan (MSQoS) di dalam DUN Seri Menanti dan penambahbaikan perkhidmatan telah dilaksanakan oleh pihak pemberi perkhidmatan.

“Arahan Suruhanjaya akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori.

“Pemberi Perkhidmatan wajib mematuhi Arahan Suruhanjaya tersebut dengan menambah baik kualiti perkhidmatan di kawasan yang terbabit.

“Ketidakpatuhan Arahan Suruhanjaya merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan tindakan penguatkuasaan Undang-undang boleh diambil terhadap pemberi perkhidmatan,” katanya.

Menurut Aminuddin, inisiatif menambahbaik jaringan komunikasi di Jalan Bukit Putus (Seremban – Kuala Pilah) juga dilaksanakan melalui pembinaan sebanyak dua struktur komunikasi baharu dan ia telah beroperasi pada bulan Disember 2024.

“Bagi tahun 2025, MCMC menyasarkan untuk memperluaskan lagi audit liputan melalui tiga ujian perkhidmatan selular di beberapa jalan utama dan tujuh audit pengukuran kualiti liputan di sekitar kawasan DUN Seri Menanti.

“Ahli Yang Berhormat dan orang ramai di kawasan DUN Seri Menanti yang mempunyai sebarang masalah perkhidmatan, adalah dialu-alukan untuk mengemukakan aduan kepada pemberi perkhidmatan dan juga MCMC menerusi pautan https://aduan.mcmc.gov.my bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

“Pihak MCMC juga bersedia untuk menjalankan tinjauan kawasan bersama Ahli Yang Berhormat bagi mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan kawasan yang bermasalah di kawasan DUN Seri Menanti,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi (BN) di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Muhammad Sufian bertanya, masih terdapat beberapa tempat di dalam kawasan DUN Seri Menanti yang mengalami masalah gangguan talian isyarat komunikasi terutamanya di laluan-laluan utama.

“Talian isyarat telefon terputus di setengah kawasan laluan menyebabkan kesukaran komunikasi.

“Apakah langkah yang akan diambil oleh pihak MCMC untuk penambahbaikan talian komunikasi di kawasan DUN Seri Menanti?

 

Show More

Related Articles

Back to top button