RUU Perhutanan Negara 2025 tingkat keberkesanan penguatkuasaan hutan

SEREMBAN: Persidangan Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Penerimaan Pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2025 (Akta A1667) bertujuan bagi menambah baik dan menetapkan kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, RUU ini juga bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan hutan serta memperkukuhkan sektor perhutanan seiring dengan perkembangan semasa.
“Secara umumnya pindaan akta ini memberikan penekanan kepada aspek seperti memperketatkan proses pewartaan keluar masuk, penggantian hutan simpan kekal (HSK), meningkatkan kadar denda serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang boleh merosakkan alam sekitar.
“RUU ini perlu bagi menetapkan penguatkuasaan perhutanan hingga ke peringkat pengkompaunan, mengatasi isu kekaburan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan penguatkuasaan operasi perhutanan,” kata Aminuddin.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Pakatan Harapan Backbenchers) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaren semasa sesi perbahasan berkata, beliau yakin dan percaya bahawa akta ini diterima pakai demi kebaikan Negeri Sembilan.
“Setakat ini Negeri Sembilan telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam melindungi hutan simpan serta kawasan hijau dan tidak dapat dinafikan Kerajaan Negeri sangat berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan berkaitan perhutanan.
“Sejak 2018 sehingga hari ini (2025), saya ingin menegaskan tiada lesen pembalakan yang baharu dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
“Ini membuktikan komitmen dan beliau sedar akan kepentingan hutan sebagai warisan negeri.
“Bukan sahaja untuk generasi sekarang malah masa depan rakyat Negeri Sembilan.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Exco Kanan dan semua Exco lain di atas komitmen mengekalkan dasar dan melindungi hutan di Negeri Sembilan,” kata Gunasekaren.
Sementara itu Gunasekaren turut mencadangkan kawasan hutan sekitar 400 ekar di daerah Port Dickson dikekalkan sebagai kawasan hutan simpan.
“Saya juga telah mengenal pasti satu kawasan hutan yang sangat cantik di DUN Seremban Jaya yang boleh dimajukan sebagai kawasan eko pelancongan.
“Saya berharap Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban serta Majlis Bandaraya Seremban dapat mengkaji, menilai dan mempertimbangkan cadangan ini,” jelas Gunasekaren.