Berita

Santuari buaya tembaga di Sungai Linggi, satu tarikan pelancong

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan hampir RM200,000 bagi kajian penyediaan Pelan Induk Pembangunan Ekopelancongan Santuari Buaya Tembaga di Sungai Linggi, Daerah Port Dickson.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan Sungai Linggi merekodkan cerapan buaya tembaga yang tinggi dengan 164 cerapan buaya tembaga direkodkan pada survei tahun 2021.

“Pembangunan santuari ini akan melibatkan dua fasa.

“Fasa 1 – Pembangunan papan tanda, Panel Interpretif, pembinaan jeti, ‘board walk’, pelantar pemerhatian, tandas, wakaf, tempat letak kenderaan, Kaunter Informasi serta kemudahan asas lain untuk pengunjung harian.

“Fasa 2 – Pembangunan program dan aktiviti untuk memberi kesedaran kepentingan konservasi spesies buaya. Program akan dilakukan secara berintegrasi dan bergantung kepada pembangunan semasa in-situ santuari,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian selepas menyelusuri Sungai Linggi bagi melihat tapak Projek Santuari Buaya Tembaga.

Projek ini adalah Inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan melalui Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Jabatan Perhilitan.

Aminuddin berkata, beliau berharap pembangunan ini mampu memelihara kestabilan biodiversiti buaya tembaga dan hidupan akuatik di samping merancakkan lagi sektor pelancongan di dalam negeri untuk menikmati keindahan alam semulajadi.

“Saya turut berkesempatan melawat tapak cadangan kelong memancing di perairan Port Dickson.

“Sebelum lawatan, kami telah diberikan taklimat berkenaan kelong yang pernah dibina sebelum ini di tempat lain dan kesesuaian membinanya di Negeri Sembilan.

“Cadangan pembinaan kelong ini dijangka mampu menambah produk pelancongan di Port Dickson dan menarik lebih ramai pemancing rekreasi,” ujar beliau lagi.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button