SEREMBAN: Tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati di bawah Akta Pengangkutan Jalan bagi kes memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, langkah itu tidak wajar dipertimbangkan memandangkan kerajaan telah memansuhkan hukuman mati mandatori sebelum ini.
“Jadi ini bukan sesuatu yang sedang kita pertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program keselamatan jalan raya di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap pemandu mabuk.
“Ini termasuk mendakwa mereka atas kesalahan membunuh sekiranya perbuatan itu menyebabkan kematian.
“Sudah ada undang-undang sedia ada untuk menangani pemandu mabuk,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya kini sedang menggubal pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa.
“Langkah itu bertujuan meringankan beban keluarga yang ketika ini perlu melalui proses tindakan sivil yang rumit, memakan masa dan melibatkan kos tinggi untuk mendapatkan pampasan.
“Dengan cara ini, keluarga tidak perlu melalui proses sivil yang berasingan untuk mendapatkan pampasan,” ujarnya.
Pindaan tersebut juga dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Jun depan.
Ketika ini, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 bagi kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu di bawah pengaruh.
Manakala hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap pesalah berulang.
Dalam pada itu, pihaknya turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh bahan terlarang sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.



