Titah Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-74
Titah Ucapan D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Sempena Hari Keputeraan Ke-74 D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Sesungguhnya segala pujian, sanjungan dan kesyukuran dirafak ke hadrat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W. semulia-mulia kejadian, juga ke atas kaum keluarga dan para sahabat Baginda.
Alhamdulillah kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua Beta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan untuk menyambut ulang tahun Keputeraan yang ke-74 serta dapat bersama-sama Tunku Ampuan Besar berangkat hadir bagi menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat pada pagi ini.
Penghargaan sembah ucapan
Beta berkenan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar yang mewakili pihak Kerajaan Negeri, seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Beta serta rakyat Negeri Sembilan atas perutusan sembah ucapan tahniah dan iringan doa bersempena hari Keputeraan Beta pada kali ini. Beta dan Tunku Ampuan Besar berdoa agar setiap rakyat Beta dikurniakan nikmat kesihatan dan kemakmuran hendaknya.
Tahun baharu 2022, Fasa Pemulihan Covid-19 dan bencana banjir
Kehadiran tahun baru 2022 pasti membawa harapan baharu yang bakal memacu sinar perubahan, meredakan keresahan dan mengembalikan keyakinan masyarakat setelah seisi warga Malaysia dan dunia, lelah menghadapi kemelut pandemik COVID-19. Pandemik ini bukan sahaja menyebabkan ramai yang kehilangan punca pendapatan sehingga menjejaskan kehidupan seharian, malah ada dalam kalangan rakyat Beta yang kehilangan nyawa.
Beta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia. Untuk memastikan pandemik ini terkawal, Kerajaan telah menjalankan program vaksinasi dengan lancar sehingga berjaya mengurangkan kes jangkitan COVID-19 yang serius.
Namun, Beta menyeru kepada semua pihak supaya tidak lalai dan leka kerana ancaman pandemik COVID-19 masih ada. Kita semua harus terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan agar jangkitan virus ini dapat dihentikan.
Belum pun reda dengan pandemik COVID-19, kita diduga pula dengan musibah banjir luar biasa yang melanda Negeri Sembilan pada Disember lalu sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda. Walaupun masih bertungkus lumus menangani isu pandemik dan pemulihan pasca COVID-19, Kerajaan Beta berjaya menguruskan keperluan dan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat banjir. Sama seperti sewaktu Pandemik COVID-19, musibah banjir juga menyaksikan kolaborasi tanpa berbelah bahagi para petugas, sukarelawan, pihak swasta serta semua lapisan masyarakat untuk membantu mangsa banjir.
Beta amat berbangga apabila menyaksikan rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum dan agama, bersatu-padu membantu antara satu sama lain. Ini jelas membuktikan wujud semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan rakyat. Semangat kebersamaan harus dipupuk terutama kepada generasi muda dan kanak-kanak, agar sikap tolong-menolong kekal tumbuh dan berkembang dalam masyarakat.
Sokongan emosi dalam memastikan kesejahteraan masyarakat pasca Covid-19
Bencana dan musibah yang melanda, menyebabkan perubahan luar biasa berlaku secara mendadak dalam kehidupan dan persekitaran. Perubahan ini tidak harus dipandang remeh kerana kesannya boleh membawa kepada tekanan perasaan, fobia, kegelisahan dan kemurungan. Mereka yang menghadapi masalah seperti ini perlu melalui program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling.
Oleh itu, Beta berpandangan, para pakar dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama harus bekerjasama merangka satu program khas pasca bencana untuk membantu masyarakat mengatasi kesan emosi negatif, agar dapat mengukuhkan semula semangat serta kesihatan minda.
Senario ekonomi dan pembangunan Negeri Sembilan
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021 untuk mengekang penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan yang ketara terhadap aktiviti ekonomi di pelbagai sektor.
Pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan tahun 2020 walaupun mencatatkan penyusutan pada kadar negatif 3.6 peratus, hakikatnya ia adalah lebih baik berbanding pencapaian di peringkat nasional. Negeri Sembilan turut mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Per Kapita (RM43,859) melebihi paras nasional (RM43,378).
Beta berpandangan bahawa pandemik Covid-19 dari sisi yang berbeza sebenarnya telah membuka ruang kepada Kerajaan Negeri untuk merancang dan menyusun semula strategi pembangunan berdasarkan keperluan dan keutamaan agar dapat memulih serta mensejahtera semula kehidupan rakyat.
Oleh yang demikian, perancangan, penetapan teras dasar dan penyusunan strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 perlu menjadi nadi dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi secara komprehensif dan inklusif. Beta penuh yakin dan percaya Kerajaan Beta bijak meletakkan fokus dan keutamaan dalam memastikan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat jelata di Negeri Sembilan terjamin dan terbela.
Pemantapan kemudahan digital juga perlu diperhebatkan lebih-lebih lagi penerimagunaan teknologi digital telah berkembang dengan pesat pada masa ini. Kepentingan medium digital telah terbukti, dan sewajarnya menjadi teras dalam sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan, selain juga perlu diadaptasi sepenuhnya dalam semua sektor.
Beta yakin melalui Gerbang Digital Negeri Sembilan atau N9.Digital yang sedang dirancang merentasi kawasan bandar dan juga di luar bandar mampu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.
Tahniah kepada penerima pingat
Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Beta tahun ini. Kurniaan ini adalah sebagai satu penghormatan serta tanda penghargaan atas khidmat, jasa dan bakti yang telah diberikan kepada Beta, Kerajaan Beta dan Negeri Sembilan khususnya serta Malaysia secara amnya.
Beta juga ingin mengingatkan para penerima bahawa kurniaan ini merupakan pengiktirafan yang perlu sentiasa dipelihara kerana sangat berkait rapat dengan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Justeru, beta ingin menarik perhatian semua bahawa setiap penerima mempunyai amanah untuk menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan ini dengan memastikan imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara.
Terima kasih
Beta sekali lagi menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar dan pihak Kerajaan, warga perkhidmatan awam persekutuan dan negeri, pasukan keselamatan, petugas barisan hadapan atas sumbangan dalam menyempurnakan amanah untuk pembangunan, pemajuan, kesejahteraan dan kestabilan di negeri ini.
Begitu juga penghargaan Beta kepada semua pihak yang berkhidmat di sektor swasta, badan-badan bukan Kerajaan atau NGO, juga seluruh lapisan rakyat atas sumbangan, sokongan dan kesungguhan serta menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi dalam meneruskan kesinambungan usaha pembangunan di Negeri Sembilan.
Mengakhiri titah, marilah sama-sama kita memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Negeri Sembilan Darul Khusus bersama warganya sentiasa berada dalam perlindungan, pemeliharaan serta barakah Allah dan seterusnya sentiasa dilimpahi dengan keberkatan serta kemakmuran yang berkekalan di bawah lindungan-Nya jua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Sekian. Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,
Istana Besar Seri Menanti,
14 Januari 2022.