YB Kita
Titik Panas Kuala Langat Disyaki Punca IPU Tidak Sihat di Negeri Sembilan
Nur Syafiqah Mohd Jemmi
SEREMBAN: Peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke tahap tidak sihat di beberapa kawasan di Negeri Sembilan semalam disyaki berpunca daripada titik panas di Kuala Langat, Selangor.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, hasil semakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mendapati tiada pembakaran terbuka berskala besar berlaku dalam negeri setakat ini.
Menurutnya, satu titik panas dikenal pasti di Mukim Batu, Kuala Langat yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Stesen IPU Nilai dan berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU di negeri ini.
“Setakat ini tiada pembakaran terbuka berskala besar dikesan dalam Negeri Sembilan.
“Namun, kewujudan titik panas di kawasan luar berkemungkinan menjadi faktor peningkatan bacaan IPU,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bacaan IPU pada jam 7 pagi semalam menunjukkan paras tidak sihat iaitu 119 di Stesen Nilai dan Seremban, manakala Port Dickson mencatatkan bacaan sederhana iaitu 80.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya menyokong tindakan proaktif JAS Negeri Sembilan yang sedang menjalankan semakan lanjut bersama JAS Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar serta mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka.
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.