BeritaProgram

Tuanku Muhriz: Kerajaan Negeri Sembilan ambil tindakan proaktif, bantuan RM29.4 juta hadapi Covid-19

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil tindakan proaktif dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM29.4 juta bagi membiayai pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat dan petugas barisan hadapan dalam menghadapi kesan Covid-19.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, kesan penularan pandemik Covid-19 menjejaskan hampir kesemua sektor ekonomi dunia dan Malaysia serta Negeri Sembilan turut menerima impak negatif tersebut.

Baginda bertitah, peruntukan yang disediakan ini merangkumi semua aspek, antaranya Bantuan Bakul Makanan Keperluan Asas 2021, pembelian bekalan oksigen untuk kegunaan di hospital, dan sumbangan kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

“Bagi meringankan beban rakyat yang terjejas sumber pendapatan, Kerajaan Beta memberikan pengecualian sewa gerai dan pasar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bulan Januari dan Februari 2021 (Fasa 1) serta Jun dan Julai 2021 (Fasa 2).

“Manakala pengecualian sewa dan sewa beli turut diberikan untuk 3,395 unit Perumahan Awam Kerajaan Negeri Sembilan dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Majlis Bandaraya Seremban selama tiga bulan,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan istiadat pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.

Bantuan tunai kepada Ketua Isi Rumah

Sementara itu, baginda bertitah bahawa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) merupakan langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19.

“Namun, banyak pihak yang terputus punca pendapatan disebabkan tidak boleh keluar bekerja ataupun diberhentikan kerja oleh majikan.

“Justeru, bantuan dalam bentuk wang tunai secara one-off diberikan kepada golongan penjaja dan penjaja kecil tanpa premis.

“Bantuan tunai juga diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang kehilangan pekerjaan melalui Bantuan Kehilangan Pekerjaan.

“Adalah diharapkan agar bantuan, inisiatif dan insentif yang disediakan ini dilaksanakan dengan sepenuhnya supaya kehidupan rakyat terus terpelihara dan tiada golongan yang tercicir,” titah baginda.

Penghargaan kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar serta seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri atas kesungguhan yang telah ditunjukkan bagi memastikan kemajuan dan pembangunan Negeri Sembilan sentiasa berada di landasan yang tepat.

“Permasalahan dan keperluan rakyat terus menjadi agenda utama dalam setiap tindakan kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat tetap terpelihara,” titah baginda.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button