BeritaMenarik

Tuanku Muhriz yakin Aminuddin akan tadbir Negeri Sembilan dengan integriti

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yakin bahawa amanah yang diberikan kepada YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar akan dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Beta menaruh kepercayaan kepada beliau (Aminuddin) untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur.

“Beta juga amat yakin, bahawa amanah yang diberikan akan dilaksanakan dengan penuh integriti dan seluruh rakyat Beta dapat menikmati dan merasai hasil pembangunan negeri yang bertuah ini.

“Beta berpesan agar kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada penggal yang lalu (2018-2023), diteruskan dan diperbaiki sekiranya ada terdapat sebarang kelemahan,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti pada Isnin.

Tuanku turut bertitah, ingin terus melihat kerajaan ini ditadbir dengan asas-asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh.

“Beta mahu semua urusan pentadbiran di jabatan-jabatan serta agensi kerajaan yang ada di negeri ini bebas daripada sebarang unsur penyelewengan serta salah guna kuasa, dan seterusnya Kerajaan Negeri Sembilan menjadi contoh kerajaan yang bersih dan adil.

“Beta mengingatkan jabatan dan agensi kerajaan agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi tanpa ada kecondongan kepada mana-mana fahaman politik, warna kulit dan agama.

“Beta turut menyeru kepada seluruh anggota tentera dan polis serta semua agensi keselamatan untuk terus berkhidmat kepada Raja dan Negara.

“Juga kepada badan kehakiman, agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan unit pendakwaan, Beta berpesan supaya terus berkhidmat dengan bebas dan profesional berpaksikan keadilan dan kesaksamaan,” titah Baginda.

 

Kredit Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

 

Show More

Related Articles

Back to top button