Berita

Gunting rambut percuma sempena ‘Back to school’

PERTANG: Seramai 100 pelajar sekolah menengah dan rendah di DUN Pertang menerima perkhidmatan gunting rambut percuma sebagai persediaan kembali semula ke sekolah.

Penyelaras DUN Pertang, Tuan Zainal Fikri Abd Kadir berkata, usaha berkenaan diambil di atas keprihatinan bahawa ada golongan kurang berkemampuan untuk menyediakan persiapan anak-anak mereka kembali ke sekolah terutamanya sekali yang mempunyai tanggungan ramai.

“Saya prihatin dengan nasib golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini.

“Bayangkan, ada yang memiliki anak ramai dan terpaksa mengeluarkan belanja besar bagi tujuan gunting rambut.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga tersebut,” kata Zainal Fikri.

Dalam pada itu, Zainal Fikri berkata program berkenaan juga dapat membantu golongan tukang gunting rambut yang rata-rata anak muda untuk menambah sumber pendapatan.

Program ini diadakan di Kampung Baru Simpang Pertang, Kampung Kerangai dan Kampung Lakai.

Zainal Fikri turut menyerahkan beg sekolah percuma kepada 110 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button