Tujuh bangunan baru Maahad Ahmadi Gemencheh, kos RM11.71 juta
GEMENCHEH: Kerajaan Negeri Sembilan akan membina tujuh bangunan baru di Maahad Ahmadi STAM Gemencheh.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, projek yang menelan belanja RM11.71 juta ini melibatkan tujuh bangunan baru:
i. Blok asrama lelaki (kapasiti 200 orang)
ii. Blok asrama perempuan (kapasiti 200 orang)
iii. Blok akademik (12 bilik darjah)
iv. Dewan makan (kapasiti 250 orang)
v. Surau (kapasiti 250 orang)
vi. Blok-blok sokongan
“Pada 4 April 2019, saya telah melawat Maahad Ahmadi STAM dan berasa amat sedih melihat keadaan sekolah yang usang dan tidak terjaga.
“Keadaan asrama juga begitu sesak sehinggakan ada katil pelajar diletakkan di bawah kotak agihan elektrik (distribution box) bagi menjimatkan ruang.
“Melihat kepada keperluan mendesak ketika itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana berjumlah RM200,000 bagi membina kompleks bilik darjah dan kemudahan lain yang diperlukan segera untuk keselesaan pelajar,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Meroboh dan Membina Baru Sebahagian Bangunan di Maahad Ahmadi.
Aminuddin berharap pembangunan ini dapat mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelajar serta memastikan dominasi Maahad Ahmadi dalam kecemerlangan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di peringkat kebangsaan.
“Melalui pembangunan ini juga jumlah kemasukan pelajar dapat ditambah sehingga 400 orang bagi satu-satu masa.
“Jasa dan sumbangan Maahad Ahmadi dalam melahirkan generasi ulama sangat besar terhadap perkembangan ilmu di Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.
Foto: Nabil Syafiq