BeritaMenarik

Pelaburan RM8.9 bilion, tertinggi dalam sejarah Negeri Sembilan

PORT DICKSON: Negeri Sembilan mencapai pelaburan tertinggi dalam sejarah apabila mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM8.9 bilion pada tahun 2022.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pencapaian tertinggi ini bukanlah suatu perkara yang mudah.

“Kejayaan ini merupakan manifestasi tadbir urus yang cekap dan sikap keterbukaan yang diamalkan Kerajaan Negeri Sembilan dalam pelbagai aspek.

“Kerajaan Negeri juga, giat mengadakan sesi dialog bersama pelabur dari dalam dan luar negara termasuk pelabur sedia ada yang berpotensi untuk mengembangkan operasi di Negeri Sembilan,” ujarnya.

Aminuddin berkata, kejayaan ini telah membuktikan keupayaan dan potensi Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur mengambil kira kedudukan Negeri Sembilan yang strategik berhampiran dengan pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang selain terletak berhampiran dengan bandar-bandar utama Kuala Lumpur.

“Saya yakin, menerusi pembangunan MVV 2.0, lebih banyak peluang akan terbuka kepada pembangunan ekonomi negeri dan perancangan pembangunan ini akan terus berada di landasan yang tepat serta mampu direalisasikan menjelang tahun 2045 dengan penglibatan dan komitmen semua pihak,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian dalam ucapan di Majlis Peluncuran Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia 2.0 atau Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) di Port Dickson pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek.

Show More

Related Articles

Back to top button