Berita

‘TVET Bukan Lagi Pilihan Kedua, Tetapi Arus Perdana Pendidikan Negara’ – Aminuddin

 

NILAI: Seramai 525 orang graduan kolej vokasional bagi sidang tiga berjaya menamatkan pengajian dan menerima diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Kali Ke-10 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yang turut menyempurnakan penyampaian diploma kepada para graduan.

Beliau turut menekankan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua malah kini menjadi arus perdana pendidikan negara yang semakin mendapat kepercayaan masyarakat dalam melahirkan tenaga kerja mahir, kompeten dan berdaya saing.

“Peningkatan permohonan daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026 jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap nilai pendidikan kemahiran,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Aminuddin turut berkongsi kejayaan pelajar TVET di peringkat antarabangsa termasuk pencapaian dalam pertandingan kemahiran, seni budaya dan sukan yang membuktikan graduan kolej vokasional bersifat versatil serta mampu bersaing di pentas global.

Ini membuktikan bahawa TVET turut melahirkan insan yang seimbang bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran teknikal malah memiliki bakat, kreativiti serta semangat juang yang tinggi.

“Saya mengingatkan para graduan agar terus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat bagi kekal relevan dalam dunia yang semakin mencabar khususnya dengan kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan ekonomi hijau menjelang 2030,” tambahnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia jelas membuktikan bahawa TVET bukan sahaja mampu melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing malah turut menyediakan platform untuk graduan bersaing di peringkat antarabangsa dan menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik.

Show More

Related Articles

Back to top button