Berita

Veerapan mahu koperasi penyumbang kepada ekonomi negara

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Veerapan Superamaniam berkata, telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Peringkat Negeri Sembilan Bilangan 1 tahun 2024 di Bilik Mesyuarat Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) Bangunan White House, Seremban.

Veerapan berkata, MPKN memainkan peranan yang penting dalam memastikan gerakan koperasi di peringkat negeri dapat berjalan dengan lancar selaras dengan kehendak stake holder dan pihak-pihak lain yang ada hubungan dengan pembangunan gerakan koperasi dan ia juga menjadi platform di mana perbincangan yang diputuskan dalam MPKK dapat disampaikan kepada koperasi di negeri.

“Saya berharap agensi seperti FELDA, FELCRA, MPOB dan FAMA agar sama-sama memberikan idea serta khidmat nasihat ataupun insentif kewangan bagi memajukan serta mengembangkan perniagaan koperasi di Negeri Sembilan.

“Di peringkat negeri, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga menjalankan pelbagai program bagi meningkat imej (visibility) gerakan koperasi kepada masyarakat awam termasuk Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sembilan (HKNNS) NS bersama-sama dalam penganjuran Festival Negeri Sembilan (NS Fest) yang telah berlangsung selama lapan (hari di Dataran Nilai pada 27 Julai hingga 3 Ogos 2024.

“Ia merupakan program yang dijalankan bersama Kerajaan Negeri Sembilan serta Program Advokasi dan Konsultasi Perniagaan Koperasi (Asasi Niaga), Program Eksplorasi Perniagaan Koperasi (JELAJAH), Program Ruang dan Peluang Perniagaan Koperasi (Coop Biz Nest) dan yang bakal dilaksanakan iaitu Program Eksplorasi Pasaran dan Jaringan Perniagaan Gerakan Koperasi Negeri Sembilan (EKSPANSI),” jelas Veerapan.

Dalam pada itu, Veerapan mengucapkan tahniah dan syabas kepada dua buah koperasi yang dicalonkan di dalam Anugerah 100 Koperasi Terbaik Tahun 2024 iaitu Koperasi Peserta-Peserta Felcra Kawasan Kerangai Penagoh Negeri Sembilan (36) dan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Gugusan Lakai Negeri Sembilan Berhad (79).

“Mesyuarat ini perlu dijadikan sebagai platfom untuk bertukar idea serta pandangan, saling bantu-membantu dan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan gerakan koperasi di Negeri Sembilan khususnya agar mencapai matlamat dan menjadikan koperasi sebagai penyumbang berkesan kepada ekonomi negara,” kata Veerapan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button