Berita

10 strategi Kerajaan Negeri Sembilan mendepani Covid-19

Kerajaan Negeri Sembilan ambil langkah proaktif sejak awal tahun 2020, termasuk Bantuan Khas Covid-19

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil 10 langkah strategik bagi mendepani pandemik Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

“Malah Kerajaan Negeri Sembilan telah ambil langkah proaktif sejak awal tahun 2020, termasuk memberi Bantuan (Kewangan) Khas Covid-19, bagi membantu rakyat yang sangat terkesan akibat wabak ini,” katanya.

10 strategi tersebut adalah:

1. Meningkatkan ujian persampelan Covid-19 dalam usaha mengesan semua kes baru Covid-19 untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

2. Saringan massa di kawasan industri atau lokaliti yang dikenal pasti sebagai punca penularan kes positif Covid-19.

3. Meningkatkan keupayaan aktiviti Active Case Detection (ACD) dan saringan kontak rapat.

4. Meningkatkan kapasiti fasiliti kesihatan untuk menerima lebih ramai pesakit Covid-19 yang memerlukan isolasi/rawatan.

5. Mengamalkan konsep mobilisasi kakitangan ke fasiliti kesihatan yang memerlukan bantuan.

6. Menubuhkan pasukan Task Force operasi pematuhan dan penguatkuasaan SOP yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara, polis, tentera, Jabatan Kesihatan Negeri, RELA dan Pihak Berkuasa Tempatan.

7. Mengambil tindakan tegas seperti kompaun dan arahan penutupan serta merta terhadap premis yang tidak mematuhi SOP dan menjadi punca berlakunya penularan kes-kes positif.

8. Mewujudkan 94 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan kapasiti 20,000 dos sehari bermula Julai 2021.

9. Peruntukan RM30 juta untuk permasalahan rakyat melalui 11 inisiatif.

10. Memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap perancangan dan pelaksanaan pengurusan pandemik Covid-19 yang diputuskan di peringkat persekutuan.

Aminuddin menjelaskan demikian bagi menjawab saranan yang diutarakan oleh Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, YB Dato’ Seri Mohamad Hasan berkaitan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Kebajikan rakyat mengatasi kepentingan lain

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan lain.

“Ada perkara yang boleh dikawal dan dalam bidang kuasa negeri dan ada perkara yang di luar bidang kuasa negeri.

“Namun sebagai kerajaan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi yang lain, kita sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

“Rakyat sedia maklum isu kekurangan bekalan vaksin namun tanpa perlu menyalahkan sesiapa, Kerajaan Negeri mencari jalan sebaik mungkin untuk mendapatkan bekalan vaksin dengan segera dan mencukupi.

“Sebanyak 600,000 dos bekalan vaksin Covid-19 akan dihantar ke Negeri Sembilan pada bulan Julai ini.

“Kita telah mengurus dan bertindak sebaik mungkin di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Semoga segala perancangan dan tindakan kita diberkati Allah,” ujar Aminuddin.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button