BeritaMenarik

1,049 pemilik kediaman seluruh Negeri Sembilan terima geran hak milik kekal

REMBAU: Seramai 1,049 pemilik kediaman di seluruh Negeri Sembilan telah menerima geran hak milik kekal (freehold) yang sebelum ini memiliki hak milik pajakan 99 tahun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sehingga 3 Julai 2023; sebanyak 1,750 permohonan telah diterima, 1,049 permohonan telah diluluskan dan 691 permohonan masih dalam proses.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Mesyuarat Exco) pada 12 dan 19 Jun 2019 telah bersetuju dan berpuas hati bahawa ketetapan Penukaran Hakmilik Pajakan kepada Hakmilik Kekal adalah termasuk dalam tafsiran keadaan-keadaan khas (special circumstances) selaras dengan Kanun Tanah Negara.

“Mesyuarat Exco juga bersetuju untuk melaksanakan penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan 99 tahun kepada selama-lamanya ini, dimulakan dengan kawasan DUN Sikamat, Paroi dan Ampangan terlebih dahulu sehinggalah ianya diteruskan ke daerah-daerah yang lain termasuklah Daerah Rembau.

“Negeri Sembilan adalah negeri pertama di Malaysia yang membuka permohonan penukaran status tanah daripada pajakan kepada hakmilik kekal,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyerahan Hak Milik bagi Penukaran Status Tanah Pajakan Kepada Kekal di Dewan Seri Rembau.

Seramai 44 pemilik kediaman menerima geran hak milik kekal daripada Aminuddin.

Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan permohonan penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal bagi 134 hakmilik di Daerah Rembau.

Dasar penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan 99 tahun kepada kekal (Leasehold to Freehold) bagi tanah berstatus kediaman merupakan salah satu daripada 71 tawaran Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (2018) yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri pada tahun 2020.

Show More

Related Articles

Back to top button