Berita

255 Tong LPG Dirampas Dalam Op Gasak KPDN Negeri Sembilan

SEREMBAN: Sebanyak 255 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai lebih RM67,000 telah disita dalam Operasi Gasak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan sejak 1 Mei lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Veerapan Superamaniam berkata pemeriksaan dilakukan ke atas 25 premis melibatkan pemborong, pengedar, peruncit dan pemain industri di sekitar negeri ini.

“Dalam operasi ini, lima kertas siasatan telah dibuka dan seorang lelaki turut ditahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika ditemui media.

“KPDN kini lebih agresif menggunakan pendekatan bersasar, berdasarkan data serta mengutamakan pendidikan kepada pengguna dan peniaga bagi memperkasakan penguatkuasaan.

“Op Gasak ini dijalankan bagi memastikan subsidi LPG yang disediakan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang layak,” kata Veerapan.

Veerapan turut menyatakan bahawa ketirisan subsidi ini memberi impak besar kepada kewangan negara dengan anggaran kerugian mencecah RM3 bilion setahun.

“Kita mahu rakyat jadi pengguna yang lebih berinformasi, bertanggungjawab dan tahu hak mereka.

“KPDN juga mengajak semua pihak untuk jadi rakan strategik dalam usaha membanteras salah laku perdagangan,” ujarnya lagi.

KPDN Negeri Sembilan memberi jaminan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan pasaran yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan untuk semua pihak.

Show More

Related Articles

Back to top button