BeritaProgram

32 pemilik kediaman di Paroi dan Ampangan menerima hakmilik kekal

PAROI: Seramai 32 pemilik kediaman telah menerima geran bagi pertukaran hakmilik pajakan (leasehold) kepada hakmilik kekal (freehold).

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, ini merupakan salah satu daripada tawaran dalam manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berjaya dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri sedar bahawa inisiatif ini mampu memberi manfaat yang besar buat rakyat Negeri Sembilan.

“Melalui ‘political will’ yang kuat, akhirnya kelulusan untuk melaksanakan inisiatif ini berjaya diperoleh.

“Bagi memastikan inisiatif ini tidak membebankan rakyat yang layak, kadar premium yang dikenakan adalah rendah.

“Justeru, seramai 18 pemilik kediaman dari DUN Paroi dan 14 orang dari DUN Ampangan telah menerima geran hakmilik kekal,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, sehingga 30 Mac 2022, sejumlah 576 permohonan melibatkan dasar ini telah diterima dari seluruh Negeri Sembilan.

Pecahan permohonan mengikut daerah seperti berikut:

Seremban: 273 permohonan
Jempol: 178 permohonan
Rembau: 40 permohonan
Tampin: 35 permohonan
Port Dickson: 12 permohonan
Gemas: 38 permohonan

Tiada permohonan diterima daripada daerah Kuala Pilah dan Jelebu.

“Daripada 576 permohonan tersebut, sebanyak 292 permohonan telah diproses dan sebanyak 201 permohonan telah diluluskan (67%).

“Pecahan permohonan diluluskan mengikut daerah iaitu Seremban (167), Tampin (11), Gemas (23) dan permohonan lain-lain daerah sedang diproses.

“Bagi DUN Paroi, sebanyak 125 permohonan telah diluluskan (78%) yang melibatkan Taman Marida, Taman Sri Kasih dan Taman Senawang Jaya.

“Manakala bagi DUN Ampangan pula sebanyak 41 permohonan telah diluluskan (55%) melibatkan Taman Dato Wan, Gedong Lalang 162, Gedong Lalang 50 dan Rumah Rakyat Dusun Nyior,” jelas Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button