Berita

340,000 pemegang polisi batal insuran pelan perubatan

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, unjuran menunjukkan inflasi perubatan di Malaysia bakal mencecah ~15 peratus pada tahun 2025.

“Lebih merisaukan, rekod menunjukkan lebih 340,000 pemegang polisi telah membatalkan pelan perubatan mereka baru-baru ini.

“Ia adalah bukti jelas bahawa sistem kita sedang berada dalam tekanan (system under strain).

“Sebab itu RESET memberi tumpuan kepada reformasi struktur: Kita memperkenal Pelan Asas MHIT (MHIT Base Plan) untuk memperluas akses kepada kumpulan M40 dan T20.

“Tujuannya jelas—untuk mengurangkan perbelanjaan Out-of-Pocket (OOP) rakyat melalui penyatuan pembiayaan swasta yang lebih efektif.

“Sistem pembayaran perlu berubah kepada value-based. Melalui DRG, caj dikenakan berdasarkan diagnosis dan tahap keterukan penyakit, bukan caj yang melambung tanpa kawalan.

“Ini penting untuk memastikan kemampanan kos jangka panjang,” jelas Dzulkefly.

Beliau berkata demikian di Forum Ekonomi Malaysia 2026, bersama panelis Datuk Dr. Kuljit Singh (APHM), Dr. Ramesh Rajentheran (TVM Capital) dan moderator Prof. Dr. Sharifa Ezat (UKM) mengupas topik reformasi kesihatan negara.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan forum ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut menyentuh mengenai keperluan Tabung Amanah Kesihatan Nasional.

Ia adalah wadah penting untuk kita memobilisasi sumber dengan lebih cekap, memastikan dana kesihatan diurus secara telus dan dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan agenda kesihatan awam.

Ini adalah masanya untuk gembelingan tenaga semua pihak. Isu kos dan kemampanan ini adalah isu perennial yang tidak pernah ditangani secara berkesan pada skala ini sebelum ini.

“Ia memerlukan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, hospital swasta, dan syarikat insurans bergerak seiring—keluar dari silo masing-masing untuk menjayakan reformasi ini.

“Reformasi ini bukanlah satu pengakhiran, tetapi permulaan kepada masa depan yang lebih baik.

“Dengan melakukan ‘reset’ ke atas sistem ini, matlamat kita jelas: meletakkan penjagaan kesihatan Malaysia di landasan yang lebih adil dan saksama.

“Marilah kita bersama-sama membina sistem kesihatan yang mampan. Insya Allah,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button