Berita

34,562 keluarga miskin tegar diberi perlindungan takaful

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah memperkenalkan Pelan Takaful Khairat Kematian yang memberi perlindungan (insuran) kepada 34,562 keluarga miskin tegar.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan sebagai caruman untuk 34,562 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Pelan Takaful Khairat Kematian ini terbuka kepada rakyat yang layak tanpa mengira agama dan kaum.

“Caruman akan dibuat secara berfasa dan turut memberi perlindungan tambahan kepada isteri dan dua orang anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Caruman ini akan membolehkan waris menerima bantuan kecemasan berjumlah RM2,000 selepas kematian individu yang dinamakan.

“Manakala kematian akibat kemalangan, waris akan menerima bantuan berjumlah RM 8,000,” jelas Aminuddin.

Bantu meringankan beban waris

Aminuddin berkata, KIR yang terpilih menerima perlindungan takaful ini berdasarkan senarai e-Kasih Negeri Sembilan mulai 1 Ogos 2021 untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan.

“Inisiatif di bawah Belanjawan Negeri Sembilan 2021 ini adalah sebagai tanda simpati dan menzahirkan rasa prihatin dalam membantu meringankan beban waris.

“Penyerahan Fasa 1 hari ini berjumlah 10,777 melibatkan 7,552 orang Islam dan 3,225 yang bukan Islam dan inisiatif ini dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta Akaun Amanah Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI).

“Sijil khairat tersebut telah diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Penyelaras DUN kawasan masing-masing untuk disampaikan kepada penerima,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyerahan Sijil Khairat Kematian kepada ADUN dan Penyelaras DUN di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada petang Selasa.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button