Berita

45 menara telekomunikasi baharu dibina, 768 stesen pemancar dinaik taraf

SEREMBAN: Sebanyak 45 menara pemancar dan telekomunikasi baharu telah siap dibina di Negeri Sembilan dalam tempoh 18 bulan.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bagi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Negeri Sembilan pada tahun 2020, 100 peratus perancangan telah selesai dilaksanakan.

“Sebanyak 32 tapak menara baharu telah siap, 595 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf dan 16,441 premis telah tersedia akses gentian optik.

“Manakala setakat suku kedua tahun 2021, 13 tapak menara baharu telah siap, 173 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf dan 31,321 premis telah tersedia dengan akses gentian optik,” ujar beliau.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik pelaksanaan JENDELA yang meningkatkan lagi keupayaan telekomunikasi di seluruh Negeri Sembilan.

“Perkara ini sangat penting khususnya apabila mengambil kira revolusi industri 4.0 serta situasi semasa Covid-19 yang memerlukan jaringan yang kukuh, tidak kira lokasi.

“Kerajaan Negeri memberi sokongan kepada pelaksanaan JENDELA dengan memudahkan urusan pihak SKMM dari beberapa aspek untuk tujuan pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur sedia ada,” ulas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian selepas melawat menara telekomunikasi yang baharu disiapkan di Port Dickson pada petang Rabu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Razali Ab Malik; Pengarah UPEN, Dato’ Muhamad Nahar Mohd Sidek dan Pengerusi SKMM, Encik Dr.Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus; Ketua Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri SKMM, Encik Roslan Mohamad dan Pengarah Negeri SKMM Negeri Sembilan, Encik Mohd Khairilnaim Osman.

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button