Berita

Kerajaan PH Negeri Sembilan meluluskan 779 projek bernilai RM79.67 juta

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan meluluskan 779 projek bernilai RM79.67 juta bagi tahun 2021 dan ianya merupakan sebahagian daripada program pembangunan kontraktor Bumiputera di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, cabutan kerja undi kali ini menawarkan 336 projek yang setiap satunya bernilai tidak lebih RM100,000 dan tidak kurang daripada RM80,000 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM37.7 Juta.

“Sebelum ini cabutan kerja undi Fasa 1 bagi tahun 2021 yang dilaksanakan sebagai rangsangan ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telah melibatkan 443 projek dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM 41.97.

“Untuk cabutan kerja undi kali ini (Fasa 2 tahun 2021), sebanyak 1,092 kontraktor telah berjaya memenuhi syarat daripada 1,615 kontraktor yang mendaftar melalui online untuk kerja-kerja undi ini.

“Jumlah kontraktor yang mendaftar secara online tersebut adalah merangkumi 55.01 peratus daripada jumlah Kontraktor Bumiputra Berdaftar di bawah kelas G1,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian dalam Majlis Cabutan Kerja Undi Penyenggaraan Jalan di Bawah Peruntukan MARRIS Negeri Sembilan Fasa 2/2021 yang diadakan secara Facebook Live Streaming, di Wisma Negeri pagi Khamis.

“Program Kerja Undi yang dilaksanakan pada hari ini juga adalah merupakan sebahagian daripada pembangunan infrastruktur yang penting bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan asas, peningkatan tahap produktiviti dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.

“Besarlah harapan saya agar kontraktor yang terpilih pada hari ini berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan dapat menyiapkan kerja-kerja yang diamanahkan dengan cekap dan berkualiti seterusnya membuktikan kesungguhannya mereka dalam memperkasakan usahawan Bumiputera dalam bidang industri pembinaan.

“Jalankanlah projek tersebut dengan jujur, cekap dan amanah. Insyah Allah,” kata Aminuddin lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button