Berita

606 permohonan TUNS diluluskan, melibatkan dana RM1.6 juta

SEREMBAN: Seramai 606 usahawan mikro menerima manfaat Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang melibatkan peruntukan RM1.6 juta sejak Januari sehingga hari ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek berkata, sebanyak 234 permohonan telah diluluskan pada hari Isnin dengan nilai dana berjumlah RM640,885.70.

“Namun, daripada 234 kelulusan ini, sepuluh permohonan adalah secara kelulusan bersyarat iaitu perlu disemak semula oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN masing-masing untuk memastikan kesemua syarat-syarat yang ditetapkan dipatuhi.

“Sebelum ini 372 permohonan TUNS telah diluluskan dan dana geran bantuan berjumlah RM939,899.30 telah disalurkan kepada pemohon yang telah berjaya.

“Kadar peratus kelulusan adalah 97.3 peratus berdasarkan permohonan yang dibentangkan di dalam mesyuarat iaitu permohonan yang telah disaring dan diperakui oleh Jawatankuasa Perakuan TUNS,” jelas Mohamad Rafie.

Menurut Mohamad Rafie, Jawatankuasa Perakuan TUNS adalah sebuah jawatankuasa teknikal yang memperhalusi setiap permohonan TUNS yang dipengerusikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan (UPEN) serta dianggotai oleh agensi seperti PKNNS, UPEN, SME Corp dan lain-lain yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap permohonan mematuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Kelulusan TUNS untuk memberi kelulusan.

Dijangka meluluskan 500 permohonan lagi

Jawatankuasa Kelulusan TUNS akan memproses dan meluluskan baki dana berjumlah RM1,419,215 daripada keseluruhan RM3 juta yang diperuntukan untuk tahun 2021 setelah permohonan TUNS yang masih dibuka pada hari ini ditutup pada 30 Ogos 2021 ini.

Adalah dijangka Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan TUNS yang akan bersidang pada 25 Oktober 2021; akan bakal meluluskan sekitar 500 permohonan lagi daripada keseluruhan permohonan yang berjumlah 1,314 yang telah diterima sehingga hari ini.

“Inisiatif untuk membantu usahawan mikro di Negeri Sembilan menerusi skim TUNS dan TUNS Plus telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan.

“Ia telah menarik ribuan permohonan usahawan mikro di Negeri Sembilan untuk memperolehi dana bantuan Kerajaan Negeri Sembilan ini.

“Jawatankuasa Perakuan TUNS dan Jawatankuasa Kelulusan TUNS perlu menilai setiap permohonan secara terperinci untuk memastikan mereka yang benar-benar layak mendapat kelulusan pembiayaan ini.

“Setiap sen dari dana peruntukan yang telah diluluskan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan ini telah dan bakal disalurkan 100 peratus secara telus kepada usahawan yang berjaya,” ujar Mohamad Rafie yang juga ADUN Ampangan.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button