Berita

75 Pesara Pentadbiran Negeri Sembilan Dirai, Sumbangan Diiktiraf Sebagai Legasi Negeri

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

Seremban: Seramai 75 pesara daripada 34 jabatan dan agensi di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan diraikan dalam Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024, hari ini.

Kesemua pesara menerima sijil penghargaan serta sumbangan berjumlah RM600 setiap seorang yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa para pesara bukan sekadar menamatkan tempoh perkhidmatan, sebaliknya meninggalkan legasi yang besar kepada negeri dan rakyat.

“Hari ini kita tidak meraikan persaraan semata-mata, tetapi kita meraikan legasi yang telah ditinggalkan.

“Ada jasa yang tercatat dalam dokumen, tetapi lebih banyak yang terpahat dalam kehidupan rakyat, dalam sistem yang berjalan lancar dan perkhidmatan yang teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, sumbangan penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan telah menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran, pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat yang dinikmati hari ini.

“Pesaraan adalah kesinambungan nilai yang telah dibina sepanjang kehidupan.

“Kita menghormati segala sumbangan yang telah dicurahkan, bukan sahaja yang terakam dalam fail dan laporan, tetapi juga yang hidup dalam pengalaman, kelancaran pentadbiran serta kejayaan pembangunan negeri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Negeri Sembilan khususnya penjawat awam dan pesara agar sentiasa berwaspada serta menggunakan kebijaksanaan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Selain itu, beliau menyeru agar semua pihak mengamalkan sikap berjimat-cermat selaras dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika dunia berdepan krisis Asia Barat yang memberi kesan kepada kenaikan harga barangan harian.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata peranan pesara tidak terhenti selepas menamatkan perkhidmatan, sebaliknya mereka kekal sebagai tonggak dalam keluarga dan sumber pengalaman dalam masyarakat.

“Dalam komuniti, tuan-tuan dan puan-puan adalah contoh bahawa kehidupan berintegriti, amanah dan berkhidmat dengan ikhlas akan sentiasa meninggalkan kesan.

“Saya berharap para pesara terus menjadi inspirasi kepada generasi muda dan terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pesara atas jasa dan pengorbanan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Akhir kata, saya mendoakan agar tuan-tuan dan puan-puan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan jiwa, rezeki yang berpanjangan serta kehidupan persaraan yang bermanfaat dan bermakna,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button