CHIT CHAT INTEGRITI: “Harmoni semasa bersama, adil bila berpisah”

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia telah menganjurkan Seminar Chit Chat Integriti: Pemahaman Undang-Undang Syarak dan Sivil 2025 bertempat di Dewan Auditorium Aras 1, Kementerian Kewangan Malaysia.
Objektif seminar ini diadakan bertujuan untuk melahirkan warga kerja yang berintegriti serta dapat melaksanakan amanah dengan baik, meningkatkan kesedaran dan implikasi rasuah dalam keluarga, meningkatkan kefahaman tentang peranan dan tanggungjawab penjawat awam dalam mematuhi prinsip undang-undang menurut perspektif syarak dan sivil di samping mendidik masyarakat tentang hala tuju atau tindakan sekiranya berlaku perceraian terutama dari aspek kewangan dan pengurusan harta berdasarkan undang-undang Syariah.
Seminar ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar Saraan Dan Pengurusan (SBDSP), Kementerian Kewangan Malaysia, Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad.
Seminar yang julung-julung kali diadakan dengan rakan strategik MOF ini telah mendapat sambutan luar biasa di mana seramai 550 peserta telah memenuhi Auditorium MOF.
Para peserta yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi sangat teruja dengan penyampaian Pembentang Pertama dari Jabatan Kehakiman Syariah Selangor iaitu YA Abdul Halim Abdullah (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah) dengan tajuk “Perkahwinan dan Perceraian: Implikasi Kewangan dan Nilai Integriti”.
Pembentang Kedua iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dato’ Dr.Nik Salida Suhaila Nik Saleh telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Dari Amanah ke Akad: Peranan Integriti Dalam Memperkukuh Institusi Perkahwinan Islam Menurut Syarak”.
Hasil tinjauan yang dijalankan, rata-rata para peserta seminar berpuas hati dengan penganjuran seminar tersebut dan mencadangkan agar diperluaskan ke kementerian- kementerian lain pada masa akan datang.